Terkini
UMNO tidak akan keluar Kerajaan Perpaduan, Akmal sekadar ‘main wayang politik’ – Penganalisis UM
- Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berpandangan bahawa UMNO tidak akan bertindak meninggalkan Kerajaan Perpaduan kerana parti itu masih menikmati pelbagai kelebihan strategik yang penting untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
- Dalam nada lebih keras, beliau menyifatkan tindakan Akmal sebagai lebih bersifat provokasi dan promosi diri berbanding usaha serius memastikan tuntutan politiknya dapat direalisasikan.
- “Bagi saya, Akmal perlu hentikan main wayang politik dan sedar bahawa platform yang dipilih itu tidak realistik untuk mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya
KUALA LUMPUR – Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berpandangan bahawa UMNO tidak akan bertindak meninggalkan Kerajaan Perpaduan kerana parti itu masih menikmati pelbagai kelebihan strategik yang penting untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata UMNO berada dalam kedudukan yang lebih menguntungkan dari segi penguasaan jawatan kabinet, kekuatan jentera parti serta sumber kewangan bagi menghadapi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk di Melaka dan Johor, selain persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya tidak nampak UMNO akan bertindak meninggalkan Kerajaan Perpaduan kerana UMNO mempunyai banyak kelebihan dari segi kedudukan dalam kabinet, jentera dan kekuatan dana,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Mengulas kenyataan dan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, beliau menyifatkan pendekatan vokal yang diambil itu sekadar mengulangi budaya lama barisan Ketua Pemuda UMNO sebelum ini dan tidak memberi kesan sebenar terhadap hala tuju parti.
Menurutnya, kedudukan dan masa depan UMNO hanya boleh ditentukan melalui Perhimpunan Agung UMNO atau keputusan Majlis Tertinggi, bukannya melalui kenyataan atau desakan di platform yang tidak mempunyai kuasa membuat keputusan.
“Yang boleh menentukan kedudukan UMNO ialah Perhimpunan Agung UMNO dan Majlis Tertinggi sahaja. Jadi Akmal ini lebih banyak buang masa berbanding menggunakan saluran yang tepat,” katanya.
Dr Mohammad Tawfiq turut berpandangan bahawa UMNO tidak memperoleh sebarang kelebihan sekiranya bertindak keluar daripada Kerajaan Perpaduan, malah berisiko kehilangan pelbagai kedudukan dan keistimewaan yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk memulihkan kekuatan parti serta memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
Beliau menegaskan bahawa jika benar wujud keperluan mendesak untuk membuat keputusan besar, Akmal seharusnya menekan kepimpinan parti agar mengadakan Perhimpunan Agung Khas atau mesyuarat Majlis Tertinggi bagi membolehkan keputusan rasmi dibuat segera.
“Konvensyen khas ini tidak ada kuasa menentukan hala tuju UMNO. Akmal juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, tetapi kenapa beliau tidak menggunakan saluran yang betul,” katanya.
Dalam nada lebih keras, beliau menyifatkan tindakan Akmal sebagai lebih bersifat provokasi dan promosi diri berbanding usaha serius memastikan tuntutan politiknya dapat direalisasikan.
“Bagi saya, Akmal perlu hentikan main wayang politik dan sedar bahawa platform yang dipilih itu tidak realistik untuk mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.-The Merdeka Times