Connect with us

Terkini

UMNO masih bersedih, belum sedia bincang pengganti Bung Moktar – Ketua Puteri

Published

on

Foto: Allahyarham Bung Moktar.
  • Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan semalam hanyalah mesyuarat bulanan biasa tanpa sebarang perbincangan mengenai pengisian jawatan berkenaan.
  • Beliau bagimanapun berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diadakan pada 29 November lepas.
  • “Banyak pemimpin masih bersedih dan terasa dengan pemergian Allahyarham (Bung Moktar), kami belum bersedia lagi (bincang pengganti),” katanya.

KUALA LUMPUR – UMNO masih belum bersedia untuk membincangkan pengganti Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin berikutan kesedihan yang masih dirasai kepimpinan parti itu susulan pemergiannya pada Jumaat lepas.

Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan semalam hanyalah mesyuarat bulanan biasa tanpa sebarang perbincangan mengenai pengisian jawatan berkenaan.

Beliau bagimanapun berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diadakan pada 29 November lepas.

Menurut Nurul Amal, sebelum mesyuarat bermula, kepimpinan UMNO mengadakan tahlil ringkas sebagai mengenang jasa Allahyarham yang disifatkan amat dekat dan sentiasa berada di sisinya pada mesyuarat-mesyuarat penting sebelum ini.

“Banyak pemimpin masih bersedih dan terasa dengan pemergian Allahyarham (Bung Moktar), kami belum bersedia lagi (bincang pengganti).

“Perasaan masih bercampur baur, memang terasa sangat kehilangan itu. Beri kami sedikit masa,” katanya selepas mesyuarat itu.

Allahyarham Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meninggal dunia pada 5 Disember lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu beberapa hari selepas beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam PRN Sabah.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah akan diadakan pada 16 Dismer ini.

Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn di sini.

Turut hadir Naib-Naib Presiden Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh dan Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author