Terkini
Tun Mahathir buat laporan polis dakwa Anwar tandatangan ART tanpa prosedur sah
- Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian berkenaan dipercayai dilakukan tanpa mandat penuh daripada pihak yang sewajarnya mewakili Persekutuan Malaysia.
- “Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana beliau (Anwar) bukan seorang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya.
- Mahathir menjelaskan bahawa perjanjian antarabangsa sepatutnya memerlukan persetujuan empat institusi utama: Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja serta badan eksekutif kerajaan.
PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ditandatangani tanpa melalui prosedur yang sah.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tindakan Anwar menandatangani perjanjian berkenaan dipercayai dilakukan tanpa mandat penuh daripada pihak yang sewajarnya mewakili Persekutuan Malaysia.
“Saya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Anwar.

“Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana beliau (Anwar) bukan seorang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Putrajaya, hari ini.
Mahathir menjelaskan bahawa perjanjian antarabangsa sepatutnya memerlukan persetujuan empat institusi utama: Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja serta badan eksekutif kerajaan.
Beliau mendakwa proses itu tidak dipatuhi, sekali gus dianggap sebagai satu kesalahan.
Beliau turut mendakwa dokumen perjanjian tersebut setebal 400 muka surat tetapi tidak pernah didedahkan kepada umum.
“Terdapat banyak klausa yang menyebut bahawa kuasa negara kita sudah diserah kepada AS di mana apa juga yang kita lakukan mesti dirujuk kepada AS dan mereka (AS) pula yang menentukan sama ada boleh atau tidak dilakukan,” katanya.
Mengenai kedudukan hak bumiputera, Mahathir mendakwa perjanjian itu tidak menyatakan secara jelas perlindungan terhadap keistimewaan berkenaan.
“Dalam perjanjian ini, segala keistimewaan bumiputera tidak boleh dikenakan kepada barangan atau dagangan AS.
“Maksudnya, kuasa AS sudah sampai ke tahap menindakkan kuasa istimewa bumiputera, dan apa jua layanan kepada bumiputera mesti turut diberi kepada Amerika Syarikat. Sebab itu kita kata bahawa Amerika Syarikat sekarang sudah dapat status bumiputera,” jelasnya.
Mahathir menggesa polis menyiasat sama ada tindakan Anwar itu melanggar undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa lebih 139 laporan polis telah dibuat oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara mengenai isu sama.
Perjanjian ART yang dimeterai antara Anwar dan Presiden AS, Donald Trump pada 26 Oktober lalu bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara termasuk melalui pelarasan tarif dan kerjasama perdagangan.
Namun, terdapat pihak yang mengkritik perjanjian berkenaan kerana dikhuatiri merugikan Malaysia, khususnya berkaitan hak bumiputera. – The Merdeka Times