Terkini
Tiada keperluan iktiraf UEC, Malaysia sudah ada SPM & STPM – MINDA UKM
- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, Dr. Anuar Ahmad menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap UEC bukan sesuatu yang perlu dipertimbangkan memandangkan negara telah lama mengamalkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi asas kepada perpaduan dan pembangunan negara.
- Menurut Anwar, pelaksanaan peperiksaan UEC tidak pernah dihalang oleh kerajaan, namun tuntutan supaya sijil itu diiktiraf tidak wajar kerana sudah terdapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai peperiksaan standard negara.
- Dr. Anuar turut menasihati semua pihak agar menghormati sistem pendidikan kebangsaan demi masa depan generasi pelbagai kaum di negara ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai keperluan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana Malaysia sudah memiliki sistem persijilan kebangsaan yang lengkap, tegas Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, Dr. Anuar Ahmad.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap UEC bukan sesuatu yang perlu dipertimbangkan memandangkan negara telah lama mengamalkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi asas kepada perpaduan dan pembangunan negara.
Menurut Anwar, pelaksanaan peperiksaan UEC tidak pernah dihalang oleh kerajaan, namun tuntutan supaya sijil itu diiktiraf tidak wajar kerana sudah terdapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai peperiksaan standard negara.
“Yang mereka tuntut ini adalah pengiktirafan, saya rasa tiada keperluan untuk mengiktiraf UEC.
“Sebab kita memang sudah ada sistem pendidikan kebangsaan seperti SPM dan STPM, mengapa perlu iktiraf sijil-sijil yang bukan bersifat kebangsaan?” tegasnya.
Dr. Anuar menegaskan bahawa sistem persijilan kebangsaan telah lama diterima di peringkat antarabangsa, termasuk untuk permohonan ke universiti luar negara.
“Malah, SPM dan STPM ini diiktiraf di peringkat dunia. Kalau kita nak mohon ke universiti-universiti luar negara juga diterima. Tiada masalah.
“Jadi, kita harapkan dengan ada satu sijil yang bersifat kebangsaan, semua anak-anak kita dapat belajar dalam satu kurikulum yang sama,” katanya.
Beliau menambah, kewujudan satu persijilan kebangsaan memastikan semua pelajar belajar subjek yang sama, termasuk Sejarah, Bahasa Melayu, Matematik dan Sains yang disediakan kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sudah bersikap inklusif apabila mengiktiraf sekolah vernakular sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan kerana menggunakan kurikulum dan peperiksaan nasional.
“Jadi pada saya, apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sejak Merdeka sampai hari ini, mengiktiraf sekolah-sekolah vernakular menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, itu sudah cukup baik.
“Tidak ada negara lain di dunia ini yang mengiktiraf sekolah-sekolah vernakular dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
Dr. Anuar turut menasihati semua pihak agar menghormati sistem pendidikan kebangsaan demi masa depan generasi pelbagai kaum di negara ini.
“Kena ada rasa hormat untuk mengiktiraf, mempertahankan dan sama-sama mengukuhkan sistem pendidikan kebangsaan untuk anak-anak kita.
“Jadi, pada saya, inilah kena menghormati supaya kita sama-sama dapat membangunkan sistem pendidikan kebangsaan, semua pihak menyokong sistem pendidikan kebangsaan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan, DAP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata Timbalan Pengerusinya, Nga Kor Ming.
Menurut Nga, sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan Perpaduan, kerajaan berjaya menggerakkan dasar-dasar berteraskan kepelbagaian, keterbukaan dan kesederhanaan.
Katanya, ini termasuk pencapaian “tiga peningkatan” untuk masyarakat Cina iaitu peruntukan lebih tinggi untuk kampung baharu, sekolah menengah persendirian Cina dan hal ehwal bukan Islam.- The Merdeka Times