Terkini
SOSMA masih relevan, namun perlu ditambahbaik – Peguam
- Menurut peguam, Dr. Zulqarnain Lukman, secara umum prosedur penahanan mengikut SOSMA adalah lebih baik berbanding ISA.
- Namun, jelasnya, SOSMA masih mengekalkan ciri utama ISA iaitu penahanan tanpa bicara untuk tempoh tertentu serta penggunaan prosedur perbicaraan yang berbeza daripada Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
- Sehubungan itu, tegasnya, SOSMA hanya digunakan untuk kesalahan yang disebut di dalam jadual iaitu kesalahan berkaitan terorisme, jenayah terancang (organized crime) dan pemerdagangan manusia.
KUALA LUMPUR – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 yang diwujudkan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dilihat masih relevan dalam menghadapi ancaman jenayah namun ia memerlukan penambahbaikan bagi memastikan hak sivil individu yang ditahan tidak terabai.
Menurut peguam, Dr. Zulqarnain Lukman, secara umum prosedur penahanan mengikut SOSMA adalah lebih baik berbanding ISA.
Namun, jelasnya, SOSMA masih mengekalkan ciri utama ISA iaitu penahanan tanpa bicara untuk tempoh tertentu serta penggunaan prosedur perbicaraan yang berbeza daripada Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Ini menjadi isu pertikaian antara pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). SOSMA bukanlah diwujudkan untuk menggantikan Penal Code atau CPC.
“SOSMA adalah satu akta khusus yang digubal bagi tujuan ketenteraman awam dan keselamatan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times
Zulqarnain menambah, SOSMA membenarkan pihak polis menahan seorang tahanan sehingga 28 hari, berbanding ISA yang membenarkan tahanan selama dua tahun atas kuasa Menteri.
“Selain itu, SOSMA juga mempunyai prosedur khusus yang berbeza dengan CPC berkaitan cara mengendalikan saksi, pemberian keterangan, pembuktian kes dan lain-lain, yang menjadi kritikan pihak tertentu terhadap kerajaan.
“Namun begitu SOSMA tidak membenarkan sebarang tahanan politik ditahan di bawah SOSMA,” tegasnya.
Sehubungan itu, tegasnya, SOSMA hanya digunakan untuk kesalahan yang disebut di dalam jadual iaitu kesalahan berkaitan terorisme, jenayah terancang (organized crime) dan pemerdagangan manusia.
Beliau memberi contoh, sekiranya polis mengesan usaha untuk melakukan pengeboman di KLCC, tindakan penangkapan boleh dilakukan sebelum jenayah tersebut berlaku menggunakan SOSMA.
Menurut beliau, tanpa SOSMA, sukar bagi polis mengumpul bukti untuk mendakwa individu terlibat dalam jenayah kompleks ini.
Namun begitu, Dr. Zulqarnain mengakui kuasa luas SOSMA boleh disalahgunakan.
“Mungkin ada orang yang hanya membuat derma kecil kepada kumpulan teroris seperti RM100 atau memiliki buku dan poster berkaitan terorisme tetapi bukan ancaman sebenar, tetap boleh ditahan di bawah SOSMA,” katanya.
Zulqarnain berpendapat SOSMA masih diperlukan kerana masih wujud ancaman yang nyata kepada kesalahan berkaitan terorisme, jenayah terancang dan pemerdagangan manusia, namun, masih ada ruang untuk penambahbaikan proses tahanan ini.
“Antaranya, memberikan kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah untuk membuat keputusan berdasarkan merit dan bukan hanya keputusan yang bersifat prosedur atau pun rubber stamp sahaja.
“Selain itu, mungkin boleh diwujudkan satu mekanisme dalaman supaya orang yang ditahan itu mempunyai hak untuk membuat representasi kepada tribunal atau Jawatankuasa dalaman supaya hak sivil orang yang ditahan itu dapat diseimbangkan dengan kuasa polis untuk membuat tahanan.
Terdahulu, media melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan desakan sesetengah pihak supaya undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan kini Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 dimansuhkan, wajar ditolak.
Menurut beliau, isu hak asasi perlu diimbangi dengan keperluan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
“Jangan terlalu taksub atau obses dengan hak asasi sehingga mengenepikan keselamatan negara. Jangan menyesal setelah berlaku serangan pengganas besar-besaran seperti di negara jiran dan di peringkat antarabangsa.
“Serangan-serangan yang berjaya digagalkan oleh Cawangan Khas adalah kerana Malaysia mempunyai ISA (waktu itu), tiada gunanya lagi penyesalan selepas berlaku serangan dan nyawa tidak berdosa terkorban,” katanya. – The Merdeka Times