Connect with us

Terkini

Rombakan kabinet: PAS persoal pelantikan Hannah Yeoh dan risiko pemusatan kuasa

Published

on

Foto: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

  • Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, serta Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain pengekalan portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan oleh seorang lagi pemimpin DAP, menimbulkan persoalan besar berkait pemusatan kuasa.
  • “Pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk potensi kehilangan hak milik mereka,” tegasnya.

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran bahawa rombakan Kabinet terbaharu berisiko mencetuskan pemusatan kuasa melampau, khususnya melibatkan pentadbiran Wilayah Persekutuan dan kerajaan tempatan, susulan pelantikan beberapa pemimpin DAP ke portfolio strategik negara.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, serta Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain pengekalan portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan oleh seorang lagi pemimpin DAP, menimbulkan persoalan besar berkait pemusatan kuasa.

Menurut beliau, Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sekadar portfolio biasa, sebaliknya merupakan nadi politik dan pentadbiran negara yang menempatkan pusat kuasa eksekutif, institusi persekutuan serta struktur pentadbiran strategik.

“Justeru, pemusatan pentadbiran strategik bandar, perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pemimpin daripada satu parti dan latar belakang etnik yang sama berisiko mencetuskan persepsi ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Takiyuddin berkata, keadaan itu tidak dapat dielakkan daripada menimbulkan kebimbangan awam, khususnya apabila portfolio berkait rapat dengan dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan pihak berkuasa tempatan kini dilihat tertumpu kepada satu kelompok politik tanpa semak dan imbang yang memadai.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa rombakan Kabinet tersebut didakwa tidak dibuat berasaskan keperluan dasar atau merit, sebaliknya dipengaruhi tekanan serta tawar-menawar politik.

PAS, katanya, mengambil perhatian terhadap spekulasi bahawa pelantikan berkenaan mempunyai kaitan dengan tuntutan politik tertentu, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Jika jawatan Kabinet dijadikan ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan mana-mana pihak, ia merupakan satu hakisan serius terhadap prinsip pentadbiran berintegriti dan proses pembentukan dasar negara,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, PAS turut memberi amaran bahawa pemusatan kuasa sedemikian berpotensi mengukuhkan dominasi sesebuah parti di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain, sekali gus membolehkan dasar perbandaran dan perumahan dibentuk tanpa proses semak dan imbang yang telus.

“Pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk potensi kehilangan hak milik mereka,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa rombakan Kabinet sepatutnya bertujuan memulihkan keyakinan rakyat dan mencerminkan kemajmukan masyarakat Malaysia melalui pelantikan yang adil, matang dan berasaskan merit, bukannya sekadar untuk mengekalkan keseimbangan kuasa politik.

“Rombakan kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan, bukan menyuburkan keraguan; menyembuh luka, bukan menggaraminya; merapatkan retak, bukan menambah belah; menggala bocor, bukan menebuk lunas.

“Ia juga mesti menggambarkan kemajmukan masyarakat kita melalui perwakilan yang adil dan berkesan serta pelantikan berdasarkan merit, kedewasaan dan pandangan jauh.,” katanya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author