Terkini
Polemik iktiraf UEC: Maszlee saran laporan jawatankuasa khas dan NEM didedahkan
- Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata jawatankuasa yang diketuai oleh Dr. Edin Khoo serta dibantu Mohammad Raimie dan Datuk Tan Yew Seng itu telah menjalankan kajian menyeluruh melibatkan pelbagai aspek.
- Tambah Maszlee polemik pengiktirafan UEC kembali hangat susulan reaksi parti politik tertentu terhadap keputusan PRN Sabah baru-baru ini, justeru wajar diberikan ruang pencerahan secara ilmiah.
- Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar Kementerian Pendidikan (KPM) membentangkan semula laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019, yang antara lain mengemukakan cadangan perubahan struktur pendidikan melalui New Education Model (NEM).
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, menggesa kerajaan agar membuka laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditubuhkan pada tahun 2018 untuk dibincangkan secara terbuka di hadapan rakyat.
Menurut beliau, jawatankuasa yang diketuai oleh Dr. Edin Khoo serta dibantu Mohammad Raimie dan Datuk Tan Yew Seng itu telah menjalankan kajian menyeluruh melibatkan pelbagai aspek.
“Mereka meneliti semua respon dan maklumbalas setiap sudut perundangan, polisi, akademik, kemajmukan, kesatuan, bahasa, politik dan sosio-budaya.
“Mereka juga telah melakukan proses libat urus yang komprehensif, terangkum dan teliti dengan semua pemegang taruh, samada di peringkat atasan, mahupun di peringkat bawahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Maszlee polemik pengiktirafan UEC kembali hangat susulan reaksi parti politik tertentu terhadap keputusan PRN Sabah baru-baru ini, justeru wajar diberikan ruang pencerahan secara ilmiah.
“Memandangkan polemik pengiktirafan UEC kembali lagi dek reaksi DAP terhadap keputusan PRN Sabah baru-baru ini, elok juga kita berikan ruang kepada jawatankuasa yang pernah ditubuhkan itu membentangkan laporan kajian mereka secara terbuka.
“Kita anjurkan perbincangan terbuka mengenai perkara ini agar rakyat boleh menilai. Peperiksaan UEC yang sering dijadikan ‘political bargaining chip’ pihak tertentu ini wajar diberikan ruang untuk dibincangkan secara rasional dan akademik di depan khalayak,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar Kementerian Pendidikan (KPM) membentangkan semula laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019, yang antara lain mengemukakan cadangan perubahan struktur pendidikan melalui New Education Model (NEM).
Menurut Maszlee, NEM sepatutnya dilaksanakan pada 2021 namun diketepikan susulan pertukaran kerajaan selepas insiden “Langkah Sheraton’.
“Prof. Dr. Medeline Berma adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa tersebut yang layak berkongsikan dengan rakyat Malaysia proposal yang sepatutnya telah menyelamatkan pendidikan Malaysia pada waktu itu,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa isu UEC hanyalah simptom yang akan terus berulang setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, berpunca daripada persepsi masyarakat terhadap kelemahan kualiti pendidikan negara.
Maszlee turut menekankan keperluan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memberi pandangan memandangkan institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan pihak yang akan menerima pelajar lulusan UEC sekiranya ia diiktiraf.
“Kementerian Pengajian Tinggi selaku pihak yang menjaga IPT yang akan terlibat dalam menerima lulusan UEC jika diluluskan patut memberikan sumbangsaran mereka juga.
“Elok KPM dan KPT dengan kerjasama media arus perdana dan media alternatif anjurkan diskusi terbuka mengenai dua perkara ini, UEC dan NEM,” tegasnya. – The Merdeka Times