Terkini
‘Pet-friendly’ mall dipersoal, ADUN desak MBSJ keluar arahan rasmi
- ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh mendesak Datuk Ng Suee Lim selaku Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) supaya mengeluarkan arahan rasmi dan bertulis bagi membatalkan atau sekurang-kurangnya menyemak semula pelaksanaan konsep pet-friendly di Sunway Square Mall, Bandar Sunway.
- “Jika benar dasar negeri menyatakan haiwan tidak dibenarkan di pusat beli-belah, maka Sunway Square Mall tidak boleh dikecualikan. Isu ini bukan soal membenci haiwan, tetapi soal tadbir urus ruang awam, kuasa PBT dan kejelasan dasar kerajaan negeri,” – ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mendesak Datuk Ng Suee Lim selaku Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) supaya mengeluarkan arahan rasmi dan bertulis bagi membatalkan atau sekurang-kurangnya menyemak semula pelaksanaan konsep pet-friendly di Sunway Square Mall, Bandar Sunway.
Menurut beliau, kenyataan bahawa larangan membawa haiwan ke pusat beli-belah di Selangor kekal berkuat kuasa adalah satu langkah positif, namun kenyataan semata-mata tidak mencukupi tanpa tindakan dan penguatkuasaan sebenar.
Justeru itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional, turut menggesa penguatkuasaan tegas dan konsisten, tanpa layanan istimewa kepada mana-mana pusat beli-belah.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri boleh mengeluarkan garis panduan negeri yang seragam kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengusaha pusat beli-belah supaya isu ini tidak berulang serta memastikan isu yang menyentuh kebersihan, keselesaan awam dan keyakinan umat Islam tidak dipandang remeh atas alasan komersial atau pelancongan.
“Jika benar dasar negeri menyatakan haiwan tidak dibenarkan di pusat beli-belah, maka Sunway Square Mall tidak boleh dikecualikan.
“Isu ini bukan soal membenci haiwan, tetapi soal tadbir urus ruang awam, kuasa PBT dan kejelasan dasar kerajaan negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, isu pelaksanaan konsep ‘pet-friendly’ yang membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk ke ruang awam tertutup termasuk kawasan makan dan premis makanan telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan umat Islam serta pengguna awam, khususnya melibatkan aspek kebersihan, keselesaan dan sensitiviti agama.
Menurutnya, isu tersebut bukan baharu atau reaksi bermusim, sebaliknya telah dibangkitkan secara rasmi dan bertulis kepada beberapa pihak berautoriti termasuk MBSJ, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Exco Agama Islam Selangor.
“Semua surat ini bertujuan mendapatkan pendirian dasar yang jelas, prosedur operasi standard (SOP) bertulis dan penguatkuasaan sebenar, bukan sekadar pandangan umum atau kenyataan lisan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Datuk Ng Suee Lim yang menegaskan larangan membawa haiwan ke pusat beli-belah di Selangor masih berkuat kuasa, sambil menyifatkan pendirian itu penting bagi menegaskan autoriti pihak berkuasa tempatan.
“Kenyataan ini menghantar isyarat jelas bahawa pengurusan pusat komersial tidak boleh menetapkan polisi sendiri yang bercanggah dengan dasar negeri.
“Malah perlunya mengiktiraf sensitiviti kebersihan, keselesaan awam dan kepentingan umat Islam,” ujarnya.
Jelas beliau, jika polisi wujud tetapi gagal dilaksanakan maka ia akan dilihat sebagai lemah dan tidak berwibawa.
“Rakyat sedang memerhati, dan dalam isu ini, ketegasan tindakan adalah ukuran sebenar kepimpinan,” katanya. – The Merdeka Times