Connect with us

Terkini

Perjanjian sentuh kedaulatan, keselamatan, hak Bumi wajar dibawa kepada Agong dan Parlimen

Published

on

Foto: Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique (Gambar kecil)
  • Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata perjanjian yang menyentuh perkara sensitif seperti kedaulatan, keselamatan negara dan hak Bumiputera sewajarnya dibawa ke Parlimen serta diperhalusi dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong bagi mengelakkan elemen-elemen garis merah dilanggar.
  • “Pada masa sama, sekiranya perjanjian itu hendak dilaksanakan, pasti akan ada penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) atau Pindaan Akta sedia ada yang memerlukan persetujuan ahli parlimen.
  • “Jadi, apa-apa penggubalan dan pindaan RUU baharu perlu dipantau dan dikaji sekiranya ia berkaitan dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan bagaimana kesannya nanti kepada kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan setiap perjanjian perdagangan antarabangsa tidak sekali-kali menjejaskan kedaulatan negara, keselamatan ekonomi dan kedudukan Bumiputera dalam pasaran, tegas Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan sememangnya memberi kuasa kepada kerajaan atau Kabinet untuk menandatangani serta melaksanakan triti, perjanjian dan konvensyen dengan negara lain.

Justeru katanya, kedudukan mana-mana perjanjian yang dimeterai kerajaan adalah sah dari sudut perlembagaan.

Bagaimanapun, beliau berkata perjanjian yang menyentuh perkara sensitif seperti kedaulatan, keselamatan negara dan hak Bumiputera sewajarnya dibawa ke Parlimen serta diperhalusi dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong bagi mengelakkan elemen-elemen garis merah dilanggar.

“Pada masa sama, sekiranya perjanjian itu hendak dilaksanakan, pasti akan ada penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) atau Pindaan Akta sedia ada yang memerlukan persetujuan ahli parlimen.

“Jadi, apa-apa penggubalan dan pindaan RUU baharu perlu dipantau dan dikaji sekiranya ia berkaitan dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan bagaimana kesannya nanti kepada kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya kepada The Merdeka Times.

Kedudukan Bumiputera dalam pasaran tempatan kini semakin mengecil, dan Asyraf Farique memberi amaran bahawa komitmen dalam ART, khususnya elemen non-discriminatory terhadap Amerika Syarikat, boleh memburukkan lagi ruang dan peluang ekonomi Bumiputera jika tidak diteliti dengan cermat.

“Sebagai contoh, pemilikan asing dalam pegangan ekuiti beberapa sektor strategik dan penting sudah pun diluaskan membolehkan mereka menjadi pemegang terbesar.

“Ini sekaligus menafikan peluang syarikat bumiputera untuk meningkatkan dan mempunyai pegangan ekuiti yang tinggi dan seterusnya merendahkan kehadiran mereka dalam pasaran,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan, antaranya melaksanakan penilaian kepentingan nasional, apabila setiap rundingan perdagangan perlu melalui saringan ketat melibatkan risiko terhadap dasar afirmatif, industri tempatan, keselamatan data serta kedaulatan negara.

“Selain itu, memperkukuh proses semakan dan kelulusan Parlimen, keperluan mewajibkan penilaian impak perdagangan yang telus sebelum sesuatu perjanjian dibentangkan kepada Parlimen untuk kelulusan.

“Antara cadangan lain, meningkatkan ketelusan rundingan, kerajaan boleh mengeluarkan ringkasan pendirian rundingan atau kemas kini berkala tanpa mendedahkan maklumat sensitif,” ujarnya.

Asyraf percaya pendekatan sebegini penting untuk memastikan Malaysia tidak terperangkap dalam komitmen antarabangsa yang boleh melemahkan dasar domestik atau membuka ruang eksploitasi pihak luar.

Semalam, media melaporkan, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ditandatangani tanpa melalui prosedur yang sah.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, tindakan Anwar menandatangani perjanjian berkenaan dipercayai dilakukan tanpa mandat penuh daripada pihak yang sewajarnya mewakili Persekutuan Malaysia. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author