Connect with us

Terkini

Pelantikan Menteri WP timbulkan kegusaran masyarakat Melayu bandar – Pemuda UMNO WP

Published

on

Foto: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd. Hadi

  • Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd. Hadi berkata, pelantikan berkenaan merupakan kali pertama sejak penubuhan Wilayah Persekutuan, jawatan tersebut disandang oleh pemimpin daripada DAP dan berbangsa bukan Melayu.
  • Menurut beliau, Wilayah Persekutuan adalah jantung pentadbiran negara dan segala dasar yang digubal memberi kesan besar kepada landskap politik serta sosial negara, khususnya kepada orang Melayu bandar yang kini berdepan tekanan dan cabaran kehidupan.
  • “Kebimbangan utama ialah pelaksanaan agenda parti seperti pemilihan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pembaharuan Semula Bandar (URA), serta peranan Menteri WP sebagai Ahli Lembaga Pengampunan yang menuntut keadilan mutlak,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi apabila jawatan strategik itu didominasi oleh satu kaum.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd. Hadi berkata, pelantikan berkenaan merupakan kali pertama sejak penubuhan Wilayah Persekutuan, jawatan tersebut disandang oleh pemimpin daripada DAP dan berbangsa bukan Melayu.

Menurut beliau, Wilayah Persekutuan adalah jantung pentadbiran negara dan segala dasar yang digubal memberi kesan besar kepada landskap politik serta sosial negara, khususnya kepada orang Melayu bandar yang kini berdepan tekanan dan cabaran kehidupan.

“Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa pelantikan ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi apabila jawatan strategik ini didominasi oleh satu kaum.

“Kebimbangan utama ialah pelaksanaan agenda parti seperti pemilihan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pembaharuan Semula Bandar (URA), serta peranan Menteri WP sebagai Ahli Lembaga Pengampunan yang menuntut keadilan mutlak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, menurutnya, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan tetap mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan tersebut dan berharap beliau dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Kami mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada YB Hannah Yeoh, namun kami ingin mengingatkan bahawa amanah ini adalah amanah rakyat, bukan amanah parti.

“Bertindaklah secara adil, profesional dan jangan sesekali meminggirkan kepentingan orang Melayu bandar,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan akan terus memantau dan bersuara demi mempertahankan hak orang Melayu di ibu negara.

Terdahulu, media melaporkan Hannah Yeoh diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang digugurkan.

Sementara itu, Datuk Lo Su Fui yang juga Ahli Parlimen Tawau daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan muka baharu yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author