Terkini
Mega Street Dakwah anjuran MRM perangi salah faham, islamofobia
- Program Mega Street Dakwah yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya akan dilaksanakan secara serentak di 11 lokasi seluruh negara pada 20 dan 21 Disember ini.
- Pengerusi Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, objektif utama program adalah bagi menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam dan Islam.
- “Selain itu, mengenalpasti apakah tanggapan mereka terhadap Islam, di samping melatih peserta memahami selok-belok dakwah dengan lebih berkesan. Ia supaya mampu memupuk minat dan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan berdakwah kepada masyarakat bukan Islam,” katanya kepada The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – Program Mega Street Dakwah yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya akan dilaksanakan secara serentak di 11 lokasi seluruh negara pada 20 dan 21 Disember ini, sebagai usaha besar-besaran mengurangkan salah faham masyarakat bukan Islam terhadap Islam serta memperjuangkan penghapusan islamofobia di Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, objektif utama program adalah bagi menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam dan Islam.

“Selain itu, mengenalpasti apakah tanggapan mereka terhadap Islam, di samping melatih peserta memahami selok-belok dakwah dengan lebih berkesan.
“Ia supaya mampu memupuk minat dan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan berdakwah kepada masyarakat bukan Islam,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau menambah, program tersebut turut bertujuan memupuk minat serta menimbulkan kesedaran tentang kepentingan berdakwah kepada masyarakat belum Muslim, selain mewujudkan jaringan dakwah dan kerjasama strategik antara agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Tema penganjuran tahun ini ialah ‘Saudara Seiman (Brothers In Faith)’, yang menekankan pendekatan dakwah berteraskan persaudaraan, dialog terbuka dan saling menghormati.
Mengulas impak program, Muhammad Azim berkata Mega Street Dakwah telah memberi kesan positif kepada masyarakat setempat apabila orang ramai semakin terbuka untuk berbincang mengenai agama.
“Malah, program ini juga sebagai platform yang selamat untuk bertanya tentang Islam.
“Sepanjang penganjuran sebelum ini, sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat bukan Islam dan Islam sehingga kami berjaya mengedarkan hampir 10,000 risalah berkaitan Islam,” jelasnya.
Program berkenaan dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama pelbagai organisasi dakwah dari seluruh Malaysia, melibatkan anggaran penyertaan sekitar 500 peserta daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira umur dan bangsa.
Lokasi penganjuran merangkumi Kangar (Perlis), Georgetown (Pulau Pinang), Ipoh (Perak), Bukit Bintang dan Petaling Street (Kuala Lumpur), Seremban (Negeri Sembilan), Bandar Melaka, Bandar Mersing (Johor), Kuantan (Pahang), Kuala Terengganu, Kota Bharu (Kelantan) serta Kota Kinabalu (Sabah).
Antara rakan kolaborasi pada misi kali ini termasuk International Islamic Information & Dawah Centre (IIDAC) Kelantan, Komuniti Dakwah Ipoh, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ), Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) Terengganu dan Melaka, Islamic Propagation Society International (IPSI) Pulau Pinang, Perlis Centre of Wisdom (PCW), Haluan Malaysia Negeri Sembilan, Yayasan Kebajikan At-Tibyan Pahang, PERKIM IIUM, Quranic Youth Club (QYC) IIUM, SERASI, Kelab PERKIM UNISZA serta Pusat Maklumat dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Kuala Lumpur.
Program ini dijangka terus menjadi platform dakwah berkesan dalam membina kefahaman, mengukuhkan hubungan antara agama serta memperkasa usaha dakwah secara harmoni di Malaysia. – The Merdeka Times