Connect with us

Terkini

MCTC desak siasatan awam bebas isu sogokan RM50 Juta industri tembakau

Published

on

Foto: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).
  • Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), yang dianggotai lebih 40 pertubuhan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Lung Cancer Network Malaysia (LCNM), menggesa satu siasatan awam bebas dimulakan segera oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
  • Antara perkara yang perlu disiasat ialah siapa yang membuat tawaran tersebut, bagaimana ia disampaikan, mengapa tiada laporan dibuat, serta sejauh mana pengaruh industri tembakau dalam proses perundangan.

KUALA LUMPUR – Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa satu siasatan awam yang lebih menyeluruh terhadap dakwaan campur tangan industri tembakau dalam proses penggubalan undang-undang, susulan pendedahan bahawa seorang bekas menteri kesihatan didakwa pernah ditawarkan sogokan RM50 juta untuk menggugurkan peruntukan Generational End Game (GEG) daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok.

MCTC berkata pendedahan oleh G. Sivalamar, bekas pembantu kepada Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, menimbulkan kebimbangan serius terhadap integriti sektor awam, kedaulatan undang-undang serta perlindungan dasar kesihatan awam. Menurut Sivalamar, tawaran sogokan berjumlah RM50 juta itu telah ditolak.

Presiden MCTC, Murallitharan Munisamy, menegaskan isu tersebut bukan bersifat politik, sebaliknya melibatkan aspek perundangan dan integriti negara.

“Sebarang percubaan menawarkan wang bagi mempengaruhi kandungan undang-undang merupakan satu bentuk rasuah, iaitu kesalahan jenayah serius di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan melaporkan cubaan rasuah, walaupun tawaran itu ditolak, juga boleh dianggap sebagai satu kesalahan, satu perkara yang sebelum ini turut dibangkitkan secara terbuka oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Dr Murallitharan, isu berkenaan secara langsung menyentuh prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara yang menuntut semua individu tanpa pengecualian tertakluk kepada undang-undang.

MCTC berkata dakwaan itu turut mengukuhkan pengakuan Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu, Lukanisman Awang Sauni, di Parlimen bahawa wakil industri tembakau dan vape telah melobi Ahli Parlimen, sekali gus mempengaruhi pengguguran peruntukan GEG daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam, yang kemudiannya diluluskan sebagai Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024.

“Apabila dilihat secara keseluruhan, perkembangan ini menunjukkan satu corak campur tangan industri yang tersusun dan sistemik dalam pembuatan dasar kesihatan awam,” katanya.

MCTC, yang dianggotai lebih 40 pertubuhan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Lung Cancer Network Malaysia (LCNM), menggesa satu siasatan awam bebas dimulakan segera oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Antara perkara yang perlu disiasat ialah siapa yang membuat tawaran tersebut, bagaimana ia disampaikan, mengapa tiada laporan dibuat, serta sejauh mana pengaruh industri tembakau dalam proses perundangan.

MCTC juga menuntut agar dapatan siasatan didedahkan kepada umum.

Gesaan MCTC itu seiring dengan tuntutan kumpulan anti-tembakau lain seperti MyWatch dan Southeast Asia Tobacco Control Alliance, yang sebelum ini meminta pihak berkuasa melihat isu tersebut secara lebih luas dan tidak terhad kepada siasatan rasuah semata-mata.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author