Connect with us

Terkini

MCMC kesan 957 kes kandungan jelik kanak-kanak sejak 2024

Published

on

Foto: MCMC
  • Menurut MCMC, daripada jumlah itu, 899 kandungan berjaya diturunkan oleh platform media sosial, mencatatkan kadar pematuhan 94 peratus, dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok, dan Facebook.
  • “Menerusi Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.”
  • “Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 (22–30 September 2025), yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi, termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” jelas kenyataan tersebut.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memaklumkan sebanyak 957 kes kandungan jelik kanak-kanak dikesan di media sosial dalam tempoh 1 Jan 2024 hingga 30 Nov 2025.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, daripada jumlah itu, 899 kandungan berjaya diturunkan oleh platform media sosial, mencatatkan kadar pematuhan 94 peratus, dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok, dan Facebook.

Menurut MCMC, kerjasama penguatkuasaan turut dipertingkat secara agresif melalui operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Menerusi Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 (22–30 September 2025), yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi, termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” kata kenyataan tersebut.

MCMC mengambil maklum dapatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai keselamatan kanak-kanak dalam talian dan menghargai perhatian serius yang diberikan terhadap isu ini.

“Sejajar pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025), MCMC kini memberi tumpuan kepada instrumen subsidiari bagi memperkukuh kewajipan Pemberi Perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pendekatan baharu ini yang meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan, termasuk pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan terhadap kandungan memudaratkan,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya lagi, ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah, kandungan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan diri.

Dalam aspek pendidikan awam, menurut MCMC Kempen Internet Selamat (KIS) terus dipergiat dan terkini telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan, melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti.

“Persiapan bagi pelaksanaan ONSA 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 juga sedang dilaksanakan.

“Inisiatif KIS 2.0 pada 2026 akan memberi tumpuan kepada peningkatan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa,” jelas kenyataan itu.

MCMC kekal komited memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian melalui kawal selia yang tegas, penguatkuasaan bersepadu dan pendidikan masyarakat yang berterusan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author