Connect with us

Terkini

Malaysia kini berada dalam darurat moral, PUTRA dakwa kerajaan tidak berani bertindak

Published

on

Foto: Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Asmawar Samat.
  • Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat mempersoalkan sikap kerajaan yang didakwanya terlalu berkompromi dalam isu berkaitan hubungan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
  • Tambah Asmawar, isu LGBT bukan lagi sekadar soal dosa peribadi, sebaliknya ancaman sosial yang mampu meruntuhkan generasi.
  • Beliau turut menuntut Fatwa Anti-LGBT yang mengikat semua negeri, pendidikan anti-LGBT di sekolah serta kawalan ketat terhadap kandungan digital yang didakwa menormalisasikan budaya songsang.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menegaskan Malaysia kini berada dalam darurat moral, dan kerajaan tidak mempunyai keberanian untuk bertindak.

Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat merujuk kepada beberapa serbuan terhadap premis yang dipercayai menjadi tumpuan aktiviti seks songsang baru-baru ini.

Katanya, serbuan lebih 200 lelaki di sebuah pusat “wellness tertutup” di Kuala Lumpur dan serbuan di Pulau Pinang membuktikan budaya homoseksual “sedang membiak tanpa kawalan”.

Asmawar mempersoal sikap kerajaan yang didakwanya terlalu berkompromi dalam isu berkaitan hubungan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Kerajaan lembut kerana kepimpinan sendiri defensif dalam isu moral. Apabila Perdana Menteri mempunyai sejarah liwat yang pernah diputuskan mahkamah, rakyat berhak bertanya.

“Adakah itu sebab kerajaan terlalu lembut terhadap gerakan LGBT? Ini bukan fitnah. Ini fakta sejarah. Kerajaan yang defensif dalam isu moral tidak akan mampu mempertahankan moral negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Asmawar, isu LGBT bukan lagi sekadar soal dosa peribadi, sebaliknya ancaman sosial yang mampu meruntuhkan generasi.

“LGBT diharamkan syarak dan merosakkan keturunan. Ini bukan dosa peribadi. Ini jenayah sosial yang meruntuhkan generasi.

“Apabila perbuatan yang diharamkan dibiarkan, ia menjadi budaya. Apabila menjadi budaya, ia menghancurkan bangsa. Kerajaan Madani memilih bertolak ansur dan itu punca reput moral semakin parah,” tegasnya.

Asmawar mendakwa sistem perundangan sedia ada tidak membenarkan polis bertindak tegas walaupun bukti fizikal dijumpai.

“Undang-undang bocor, kerajaan tidak ada keberanian politik. Polis tidak boleh reman, tidak boleh dakwa dan tidak boleh bertindak, sekadar tangkap dan lepas walaupun ada kondom dan jel pelincir dijumpai serta tuala berdarah bahagian punggung.

“Kenapa? Kerana undang-undang kita lapuk dan kerajaan tidak berani menyemak semula. Kerajaan sibuk dengan slogan bukan penyelesaian. PUTRA menegaskan, undang-undang perlu diganti, bukan ditampal.

Beliau menggesa kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi menutup sepenuhnya apa yang didakwa sebagai premis seks homoseksual.

“Premis seks homoseksual mesti diharamkan secara menyeluruh, sauna lelaki, bilik gelap, cubicle seks, “wellness club” palsu, gim tertutup yang menyamar.

“Tutup dalam 24 jam, sita aset, batalkan lesen, halang dibuka semula bawah nama lain. Jika Indonesia dan Brunei boleh lakukan, Malaysia tidak boleh ada alasan,” ujarnya.

Beliau turut menuntut pindaan Seksyen 377A/377B untuk memasukkan elemen niat, supaya polis dibenarkan menahan, mendakwa dan membawa pesalah ke mahkamah tanpa perlu menunggu tangkapan semasa perbuatan dilakukan.

Asmawar juga mencadangkan larangan kepada mana-mana individu yang pernah disabitkan liwat daripada menjadi calon pilihan raya.

“Ini garis keselamatan moral negara. Calon pilihan raya mesti bersih daripada kesalahan berat yang memalukan negara. Jika pernah disabitkan liwat, tidak layak menjadi pemimpin. Negara tidak perlukan beban moral,” ujarnya.

Beliau turut menuntut Fatwa Anti-LGBT yang mengikat semua negeri, pendidikan anti-LGBT di sekolah serta kawalan ketat terhadap kandungan digital yang didakwa menormalisasikan budaya songsang.

Asmawar mencadangkan penubuhan Unit Penguatkuasaan Moral Kebangsaan (UPMK) dengan kuasa penuh menyiasat, menutup premis, menyita aset serta mencadangkan pindaan undang-undang dalam tempoh enam bulan bagi menangani isu moral negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author