Terkini
Malaysia di tangga teratas krisis diabetes Asia Tenggara
- Seasia Stats dalam satu perkongsian di Facebook berkata, negara Brunei dengan 13.7 peratus pula berada di tangga kedua berada dalam kategori yang sama.
- Tambahnya, negara-negara lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand juga berada dalam peringkat risko kateori yang sama iaitu kategori tinggi.
- “Ketiga-tiga negara tersebut mencatatkan kelaziman dengan Singapura (11.6 peratus), Indonesia (11.3 peratus) dan Thailand (10.2 peratus.),” katanya.
KUALA LUMPUR – Malaysia terus berada di tangga teratas rantau ini dengan 19 peratus kadar kelaziman krisis diabetes menjadikannya berada dalam kategori risiko kritikal di peringkat Asia Tenggara, menurut data terbaharu daripada International Diabetes Federation (IDF) dan Bank Dunia bagi tahun 2024.
Seasia Stats dalam satu perkongsian di Facebook berkata, negara Brunei dengan 13.7 peratus pula berada di tangga kedua berada dalam kategori yang sama.
“Angka-angka ini menyerlahkan cabaran kesihatan awam yang ketara didorong oleh gaya hidup, diet dan penjagaan pencegahan yang terhad,” katanya.
Tambahnya, negara-negara lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand juga berada dalam peringkat risiko kateori yang sama iaitu kategori tinggi.
“Ketiga-tiga negara tersebut mencatatkan kelaziman dengan Singapura (11.6 peratus), Indonesia (11.3 peratus) dan Thailand (10.2 peratus.).
“Proses urbanisasi pesat di negara-negara ini dilihat menyumbang kepada peningkatan gaya hidup sedentari ( gaya hidup yang melibatkan pergerakan fizikal yang sangat sedikit atau tiada langsung) serta tabiat pemakanan tidak sihat.
“Tanpa langkah intervensi bersasar, jumlah pesakit diabetes dijangka terus meningkat,” tegasnya.
Sementara itu jelasnya, Filipina, Kemboja, Myanmar dan Laos pula direkodkan berada dalam risiko kategori yang sederhana bagi krisis diabetes.
“Data kelaziman menunjukkan Filipina (7.5 peratus), Kemboja (7.3 peratus), Myanmar (7.1 peratus) dan Laos (6.7 peratus). tetap dianggap membimbangkan oleh pihak kesihatan awam.
Dalam pada itu, Vietnam dan Timor-Leste menunjukkan kadar kelaziman terendah dengan masing-masing merekodkan angka 3.4 peratus dan 3.2 peratus, sekali gus menempatkan mereka dalam kelompok kategori risiko rendah.
Secara keseluruhannya, menurutnya, data terbaharu itu menyerlahkan keperluan mendesak untuk kerjasama serantau yang lebih kukuh, peningkatan pendidikan kesihatan, serta penyediaan akses perubatan yang lebih menyeluruh bagi membendung peningkatan kes diabetes di rantau Asia Tenggara. – The Merdeka Times