Terkini
Mahkamah tolak saman Atomy: Afyan & Cikgu Fadli menang, Terima RM25,000 setiap seorang
- Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata keputusan tersebut menjadikan kemenangan kali ketiga memihak kepada Afyan dan Cikgu Fadli dalam siri tindakan undang-undang yang difailkan oleh Atomy Malaysia.
- “Mahkamah juga mengarahkan Atomy Malaysia membayar kos sebanyak RM25,000 setiap seorang kepada Afyan & Cikgu Fadli. Kemenangan agregat 3-0 untuk kita,” jelasnya.
- “Alhamdulillah. Saya menang melawan Atomy Malaysia yang saman saya pada 2021. Pihak pendakwa gagal membuktikan lima post yang saya tulis adalah fitnah,” kata bekas guru, Mohd Fadli Salleh.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak tuntutan saman yang dikemukakan oleh Atomy Malaysia terhadap Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi dan bekas guru, Mohd Fadli Salleh sekali gus memerintahkan syarikat itu membayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap defendan.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata keputusan tersebut menjadikan kemenangan kali ketiga memihak kepada Afyan dan Cikgu Fadli dalam siri tindakan undang-undang yang difailkan oleh Atomy Malaysia.
Susulan keputusan itu, beliau menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai satu kejayaan besar dalam mempertahankan usaha amar makruf nahi mungkar.
“Alhamdulillah, Allahu Akbar, kita menang lagi ke atas Atomy Malaysia! Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak tuntutan Atomy Malaysia terhadap Afyan & Cikgu Fadli,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Firdaus Wong turut memaklumkan bahawa mahkamah bukan sahaja menolak tuntutan tersebut, malah mengarahkan Atomy Malaysia membayar kos kepada kedua-dua defendan.
“Mahkamah juga mengarahkan Atomy Malaysia membayar kos sebanyak RM25,000 setiap seorang kepada Afyan & Cikgu Fadli. Kemenangan agregat 3-0 untuk kita,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Fadli Salleh dalam satu hantaran di Facebook menyatakan kesyukuran setelah memenangi kes ke atas Atomy Malaysia.

“Alhamdulillah. Saya menang melawan Atomy Malaysia yang saman saya pada 2021. Pihak pendakwa gagal membuktikan lima post yang saya tulis adalah fitnah.
“Mereka diarah membayar kos RM25,000 kepada saya. Alhamdulillah, syukur, terbukti perkongsian saya sebelum ini adalah fakta sahih lagi benar,” katanya.
Sepanjang lima tahun turun naik mahkamah, beliau mengumpul banyak pengalaman berharga dan berjanji akan berkongsi proses kes mahkamah pada masa akan datang.
Difahamkan, Atomy Malaysia memfailkan saman terhadap Afyan Mat Rawi dan Mohd Fadli Salleh kerana memfitnah Atomy menjalankan kristianisasi. – The Merdeka Times