Terkini
Liwat perlu kembali di bawah Mahkamah Syariah, Seksyen 377 harus dipinda – Bekas hakim
- Bekas Hakim Mahkamah Syariah Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah berkata a bagi memudahkan pihak polis atau penguatkuasa mengambil tindakan dan pihak pendakwaan untuk membawa ke muka pengadilan.
- Jelasnya lagi, persoalan timbul berkaitan dengan punca kuasa dan kuasa pasukan polis untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah, hal ini dipersoalkan kerana undang-undang syariah merupakan urusan negeri.
- Muhamad Asri berkata sistem dualisma Mahkamah di Malaysia menyediakan kolaborasi undang-undang jika kesalahan tersebut ‘Persetubuhan Luar Tabii’ tidak boleh dibawa atau dituduh di Mahkamah Sivil namun pelaku orang Islam, mereka boleh dituduh di Mahkamah Syariah.
KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Syariah Perak, Datuk Muhamad Asri Abdullah mengesyorkan bidangkuasa kes liwat dikembalikan kepada Mahkamah Syariah dan Seksyen 377 Penal Code dipinda supaya setiap orang yang melakukan persetubuhan luar tabii di bawa ke muka pengadilan walaupun mereka melakukannya suka sama suka tanpa ada unsur paksaan.
Menurut beliau, ia bagi memudahkan pihak polis atau penguatkuasa mengambil tindakan dan pihak pendakwaan untuk membawa ke muka pengadilan.
Jelasnya lagi, persoalan timbul berkaitan dengan punca kuasa dan kuasa pasukan polis untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah, hal ini dipersoalkan kerana undang-undang syariah merupakan urusan negeri.
“Daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, didapati tiada halangan Perlembagaan Persekutuan untuk pasukan polis menguatkuasakan jenayah syariah. Begitu juga dengan peruntukan Akta Polis.
“Walaupun tiada peruntukan khusus mengenai kuasa dan peranan polis untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah, Akta Polis mempunyai peruntukan umum dalam melaksanakan apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang yang sah.
“Bahkan jika diteliti dalam peruntukan undang-undang prosedur jenayah syariah negeri-negeri didapati bahawa undang-undang tersebut mempunyai peruntukan yang sangat jelas mengenai kuasa dan peranan polis dalam pelaksanaan undang-undang jenayah syariah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Muhamad Asri, punca kuasa tersebut lebih jelas apabila dalam undang-undang tatacara atau prosedur jenayah negeri-negeri memperuntukkan kuasa kepada pihak polis untuk membuat tangkapan, pemeriksaan, geledah dan sebagainya dalam kes-kes jenayah syariah.
Katanya, timbul persoalan bolehkah pihak polis bersendirian atau bersepadu dengan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dalam kes jenayah syariah seperti membuat operasi, tangkapan dan sebagainya.
“Jika pihak polis berpendapat bahawa kes yang ditangkap tersebut tidak boleh dikuatkuasakan atau didakwa kerana tidak memenuhi elemen undang-undang yang berkaitan seperti tangkapan yang dibuat di bawah Penal Code, Seksyen 377 melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan Seksyen 372 menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan.
“Jika didapati tiada mangsa dalam kes tersebut atau kes tersebut adalah dibuat dengan kerelaan pihak masing-masing. Maka bolehkah kes itu diserahkan kepada PPA atau kepada pihak Pendakwaan Mahkamah Syariah?,” jelasnya.
Muhamad Asri berkata sistem dualisma Mahkamah di Malaysia menyediakan kolaborasi undang-undang jika kesalahan tersebut ‘Persetubuhan Luar Tabii’ tidak boleh dibawa atau dituduh di Mahkamah Sivil, namun apabila pelaku adalah orang Islam, mereka boleh dituduh di Mahkamah Syariah.
Jelas beliau, ini adalah kerana kesalahan liwat dalam Hukum Syara’ tidak melibatkan adanya unsur ‘mangsa’ iaitu jika kesalahan tersebut dilakukan dengan kerelaan masing-masing, sekali pun ia tetap dikira salah.
Bagaimanapun, beliau berpendapat definisi liwat dan persetubuhan luar tabii di bawah Syariah dan sivil adalah berbeza.
“Liwat adalah persetubuhan antara sesama lelaki (Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah WP). Akta tersebut mendefinisi “liwat” ertinya perhubungan seks sesama lelaki.
“Persetubuhan Luar Tabii (PLT) pula, mana-mana orang yang melakukan hubungan seks dengan seseorang yang lain dengan memasukkan zakar ke dalam dubur atau mulut seseorang (Seksyen 377A Kanun Keseksaan).
“Jadi, apabila definisi berbeza, maka elemen perbuatan juga akan berbeza, seperti liwat, apabila definisi hanya had kepada “persetubuhan antara sesama lelaki”, kedua-dua mencucuk dan dicucuk boleh didakwa.
“Manakala PLT, kalau perbuatan sudah spesifik kepada yang “memasukkan zakar”, seorang sahaja yang boleh didakwa, lagi seorang dikira tiada kesalahan, sebab tiada dalam kesalahan “membiarkan atau merelakan dubur dimasuki zakar”,” ujarnya.
Katanya lagi, kes liwat di bawah undang-undang Syariah membolehkan kedua-dua individu didakwa kerana ia dianggap kesalahan tanpa mangsa, manakala di bawah undang-undang sivil hanya pelaku yang melakukan ‘kemasukan’ boleh dituduh.
Jelasnya lagi, ketiadaan pengakuan daripada mana-mana individu yang ditahan menyebabkan pihak berkuasa berdepan kesukaran besar untuk melengkapkan siasatan dan meneruskan pendakwaan.
“Oleh itu, peranan Mahkamah Syariah dan Sivil selama ini untuk melengkapi satu sama lain adalah lebih berkesan. Jika satu-satu kes tidak boleh dibawa ke Mahkamah Sivil, mungkin ia boleh dibawa ke Mahkamah Syariah dan sebaliknya,” ujarnya. – The Merdeka Times