Connect with us

Terkini

Laporan SEA-PLM 2024: Pencapaian Malaysia merosot, KPM diminta beri penjelasan

Published

on

Foto: Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad
  • “Pencapaian Malaysia di dalam Laporan SEA-PLM 2024 secara keseluruhannya telah merosot.
  • “Berbanding keputusan SEA-PLM 2019, pencapaian negara kita pada 2024 lebih merosot dalam penilaian penguasaan literasi asas dan Matematik asas,” kata Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad.
  • Justeru, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memberikan pencerahan mengenai mengapa masa instruksional Matematik di negara kita kurang berbanding negara ASEAN yang lain.

KUALA LUMPUR – Laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 yang diumumkan pada 4 Disember lalu menunjukkan pencapaian Malaysia dalam penilaian literasi asas dan Matematik asas merosot berbanding keputusan 2019.

SEA-PLM merupakan penilaian pendidikan serantau anjuran UNICEF dan SEAMEO yang berpusat di Bangkok. Walaupun tidak setara sepenuhnya, ia sering disamakan dengan penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS.

Data SEA-PLM 2024 menunjukkan Myanmar (5 tahun) mencatat jumlah masa pengajaran paling tinggi, dengan lebih 3,690 jam untuk bidang lain, selain bahasa (1,196 jam) dan matematik (1,032 jam); Malaysia (6 tahun) memperuntukkan 2,016 jam untuk bahasa, 576 jam untuk matematik dan 2,064 jam bagi bidang lain; Filipina (6 tahun) meletakkan masa tinggi untuk matematik iaitu 1,330 jam, manakala bahasa (1,940 jam) dan bidang lain (1,850 jam).

Sementara itu, Vietnam (5 tahun) mengekalkan struktur seimbang dengan 1,505 jam bahasa, 805 jam matematik dan 2,520 jam bagi bidang lain; Kemboja (6 tahun) menyediakan 1,400 jam bahasa, 1,040 jam matematik dan 1,761 jam untuk bidang lain; serta Laos PDR (5 tahun) berada pada kadar sekitar 1,485 jam bahasa, 825 jam matematik dan 1,716 jam bidang lain.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad, berkata, laporan terbaharu itu menimbulkan beberapa kebimbangan penting mengenai kedudukan Malaysia dalam kalangan negara ASEAN.

“Pencapaian Malaysia di dalam Laporan SEA-PLM 2024 secara keseluruhannya telah merosot.

“Berbanding keputusan SEA-PLM 2019, pencapaian negara kita pada 2024 lebih merosot dalam penilaian penguasaan literasi asas dan Matematik asas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain Malaysia, Vietnam juga menunjukkan kemerosotan, namun negara-negara lain seperti Laos, Kemboja dan Myanmar mencatat peningkatan lebih baik berbanding 2019.

“Myanmar agak menonjol. Singapura pula tidak sertai SEA-PLM 2024. ‘Mungkin’ ini bukan ‘padang permainan’ mereka,” jelasnya.

Menurut Anuar, satu dapatan yang dianggap mengejutkan ialah Malaysia dilaporkan mempunyai masa instruksional paling rendah untuk subjek Matematik berbanding semua negara ASEAN yang menyertai penilaian tersebut.

Justeru, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memberikan pencerahan mengenai mengapa masa instruksional Matematik di negara kita kurang berbanding negara ASEAN yang lain.

“Antara persoalan lain, adakah anak-anak kita sudah kuasai Matematik asas, dan adakah guru Matematik tidak mencukupi?.

“Selain itu, adakah masa instruksional yang lebih banyak telah diberikan pada mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Pendidikan Islam sehingga menyebabkan masa instruksional Matematik terpaksa dikurangkan?,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author