Connect with us

Terkini

Jangan sambung kontrak Tan Sri Azam Baki – Rafizi

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli
  • Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan salah satu faktor penting ialah rasa kecewa pengundi dengan prestasi reformasi dan pembaharuan, terutama dalam membersihkan negara daripada rasuah.
  • “Kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas daripada rasuah,” katanya.
  • Beliau berkata sejak 2024, kaji selidik menunjukkan rakyat terus bimbang dengan prestasi kerajaan membanteras rasuah, dengan perubahan dilaksanakan masih belum dirasai, sementara statistik kes rasuah yang berakhir dengan sabitan juga menurun.

KUALA LUMPUR – Tindakan paling segera yang perlu dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) bagi memulihkan keyakinan rakyat selepas kekalahan teruk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah adalah dengan tidak menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan salah satu faktor yang penting ialah rasa kecewa pengundi dengan prestasi reformasi dan pembaharuan, terutama dalam membersihkan negara dari rasuah.

“Kelebihan utama PH dan PKR sebelum ini ialah harapan rakyat agar sistem negara bebas dari rasuah.

“Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH, yang rata-ratanya dari golongan kelas menengah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata sejak 2024, kaji selidik menunjukkan rakyat terus bimbang dengan prestasi kerajaan dalam membanteras rasuah, dengan perubahan yang dilaksanakan masih belum dirasai, sementara statistik kes rasuah yang berakhir dengan sabitan juga menunjukkan penurunan.

“Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan dibuka menurun dari 56% tahun 2020 kepada 39% tahun 2024.

“Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36% kertas siasatan berakhir dengan sabitan dalam 2021, berbanding 2024 hanya 256 sabitan, iaitu 22% berjaya disabitkan.

“Tambahan pula, ada kes-kes berprofil besar yang berakhir dengan DNAA, atau kes digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun,” jelasnya.

Menurut Rafizi, jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.

“Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau, sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” katanya.

Rafizi berkata, langkah permulaan PH untuk membina semula kredibiliti melawan rasuah adalah melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

“Kalau saya seorang yang mendesak, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak akan dengar.

“Lebih baik jika Nurul Izzah juga desak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga desak secara terbuka. Barulah kredibiliti lawan rasuah PH dan PKR dapat dibaiki sedikit demi sedikit,” tegasnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author