Terkini
Jangan sambung kontrak Azam Baki – BERSIH
- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dalam satu kenyataan berkata pendirian tersebut sebagai respon kepada kenyataan Azam Baki yang memberi bayangan bahawa beliau tidak akan disambung lagi kerana banyak pihak tidak menyukai beliau dan kontraknya telah disambung sebanyak tiga kali sebelum ini.
- “Apa yang menjadi permasalahan dan isu kepada negara adalah proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya tersebut yang membelakangi janji untuk mereformasi pelantikan jawatan-jawatan utama agar melalui Jawatankuasa Parlimen seperti yang termaktub dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” kata kenyataan tersebut.
- Selain itu, BERSIH berharap Pengerusi JPKP, William Leong, terus mendesak supaya JPKP dapat meneliti calon‑calon yang bakal dilantik serta melaporkan sekiranya terdapat isu atau persoalan yang perlu dijawab oleh calon berkenaan.
KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Madani, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menyambung kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali keempat.
BERSIH dalam satu kenyataan berkata pendirian tersebut sebagai respon kepada kenyataan Azam Baki yang memberi bayangan bahawa beliau tidak akan disambung lagi kerana banyak pihak tidak menyukai beliau dan kontraknya telah disambung sebanyak tiga kali sebelum ini.
“Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bukanlah jawatan untuk disukai oleh orang ramai kerana jawatan tersebut adalah untuk menguatkuasakan undang-undang dan mencegah rasuah.
“Apa yang menjadi permasalahan dan isu kepada negara adalah proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya tersebut yang membelakangi janji untuk mereformasi pelantikan jawatan-jawatan utama agar melalui Jawatankuasa Parlimen seperti yang termaktub dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, Azam Baki pernah enggan hadir ke prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sewaktu beliau dikaitkan dengan isu pemilikan saham bernilai lebih RM100,000
“Pihak kami sekali lagi mendesak dengan keras agar pelantikan KP SPRM selepas ini melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi,” tegas kenyataan itu.
Selain itu, BERSIH berharap Pengerusi JPKP, William Leong, terus mendesak supaya JPKP dapat meneliti calon‑calon yang bakal dilantik serta melaporkan sekiranya terdapat isu atau persoalan yang perlu dijawab oleh calon berkenaan.
“Kerajaan Madani dan Anwar Ibrahim perlu melaksanakan kata-kata dan janji-janji yang mereka tanam selama ini.
“Apa yang rakyat inginkan adalah kejujuran, keberanian dan ketelusan dalam mentadbir negara,” jelas kenyataan tersebut. – The Merdeka Times