Connect with us

Terkini

Isu Kampung Sungai Baru ujian awal Hannah Yeoh – Penganalisis

Published

on

Foto: Penganalisis politik dan Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis (Gambar kecil).

  • Menurut penganalisis politik dan Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis, peranan menteri dalam isu berkenaan bukan sebagai penentu mutlak, sebaliknya sebagai penjaga proses agar setiap keputusan yang dibuat adalah sah dari sudut undang-undang, beretika serta berperikemanusiaan.
  • “Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu, tanggungjawab utama Hannah Yeoh ialah memastikan hak, kebajikan dan keadilan prosedural penduduk Kampung Sungai Baru dilindungi dalam kerangka undang-undang sedia ada.
  • Mujibu menegaskan bahawa kesediaan sebenar menteri baharu boleh dinilai melalui kesanggupan politik untuk menangani isu struktur yang telah berlarutan puluhan tahun, khususnya melibatkan status warisan, pemilikan strata dan hak generasi penerus komuniti berkenaan.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu, meletakkan tanggungjawab besar kepada beliau untuk memastikan hak, kebajikan dan keadilan prosedural penduduk Kampung Sungai Baru terus dilindungi dalam kerangka undang-undang sedia ada.

Menurut penganalisis politik dan Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis, peranan menteri dalam isu berkenaan bukan sebagai penentu mutlak, sebaliknya sebagai penjaga proses agar setiap keputusan yang dibuat adalah sah dari sudut undang-undang, beretika serta berperikemanusiaan.

“Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu, tanggungjawab utama Hannah Yeoh ialah memastikan hak, kebajikan dan keadilan prosedural penduduk Kampung Sungai Baru dilindungi dalam kerangka undang-undang sedia ada. 

“Ini merangkumi peranan sebagai penyelaras dasar antara kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju serta agensi berkaitan agar sebarang pembangunan tidak mengabaikan prinsip persetujuan, pampasan adil dan ketelusan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau berkata, dalam konteks tadbir urus bandar, menteri perlu berfungsi sebagai ‘penjaga proses’ bagi memastikan keputusan yang dibuat mematuhi undang-undang serta mengambil kira dimensi kemanusiaan, bukannya bertindak sebagai hakim mutlak.

Mujibu menegaskan bahawa kesediaan sebenar menteri baharu boleh dinilai melalui kesanggupan politik untuk menangani isu struktur yang telah berlarutan puluhan tahun, khususnya melibatkan status warisan, pemilikan strata dan hak generasi penerus komuniti berkenaan.

“Isu Kampung Sungai Baru bukan isu pentadbiran biasa, tetapi isu warisan Melayu bandar yang memerlukan pendekatan antara disiplin menggabungkan undang-undang tanah, perancangan bandar dan keadilan sosial.

“Jika kerajaan baharu bersedia membuka semula ruang rundingan, memperhalusi mekanisme pampasan dan mengiktiraf kompleksiti pemilikan, maka itu menandakan kesediaan sebenar, bukan sekadar komitmen retorik,” jelasnya.

Dalam masa sama, katanya, penduduk secara realistik boleh mengharapkan pendekatan tadbir urus yang lebih mendengar dan inklusif daripada kepimpinan baharu.

“Kepimpinan baharu mempunyai peluang untuk memperbaiki komunikasi dua hala antara kerajaan dan penduduk; menilai semula mekanisme pampasan dan pembangunan agar lebih adil; serta mengurangkan pendekatan paksaan yang mencetuskan ketidakpercayaan.

“Namun, harapan ini perlu diimbangi dengan realiti bahawa penyelesaian muktamad memerlukan masa, kompromi dan kekangan undang-undang yang tidak boleh dipintas begitu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata isu Kampung Sungai Baru mencerminkan cabaran besar yang dihadapi komuniti Melayu bandar dalam era pembangunan pesat.

“Ia bukan sekadar soal pembangunan semula, tetapi soal hak, maruah dan kesinambungan komuniti. Penyelesaian terbaik bukan menang-menang di atas kertas semata-mata, tetapi penyelesaian yang dirasai adil oleh penduduk. 

“Kerajaan, tanpa mengira siapa menterinya, perlu melihat Kampung Sungai Baru bukan sebagai halangan pembangunan, tetapi sebagai ujian kepada komitmen keadilan sosial dan kemanusiaan dalam agenda MADANI,” ujarnya

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berpandangan, Menteri Wilayah Persekutuan memikul tanggungjawab besar bagi memastikan semua proses pembangunan mematuhi undang-undang sedia ada serta menjaga kebajikan penduduk terlibat.

“Secara prinsip pentadbiran, seorang Menteri Wilayah Persekutuan bertanggungjawab memastikan bahawa proses pembangunan mematuhi undang-undang, termasuk Akta Pengambilan Tanah, garis panduan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan standard perundingan awam.

“Kedua, hak pemilik tanah dan penduduk terpelihara, termasuk akses kepada maklumat, pampasan yang adil, dan proses rayuan. Ketiga, keseimbangan antara pembangunan dan warisan komuniti dipertimbangkan dalam keputusan dasar. Keempat, kementerian bertindak sebagai pengantara antara pemaju, DBKL, dan penduduk apabila berlaku pertikaian,” katanya.

Beliau menambah, kepimpinan baharu boleh dinilai melalui tindakan awal seperti audit proses, penganjuran sesi libat urus awam atau penangguhan sementara projek bagi tujuan semakan semula.

“Pada pandangan saya, isu seperti Kampung Sungai Baru mencerminkan ketegangan klasik antara pembangunan dan hak komuniti.

“Kejayaan penyelesaian bergantung pada ketelusan institusi, bukan semata-mata siapa yang memegang jawatan. Komuniti yang terkesan perlu diberi akses kepada maklumat, proses rayuan dan saluran dialog yang sah, kerana ini adalah asas tadbir urus yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, Prof. Dr. Kartini berpandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu Hannah Yeoh memikul tanggungjawab besar untuk menyantuni isu sedia ada secara berhikmah.

“Dengan kata lain, isu ini bukan hanya tentang satu kampung, ia adalah ujian keupayaan institusi untuk mengurus pembangunan bandar secara adil dan beretika. 

“Hannah Yeoh memikul tanggungjawab besar untuk menyantuni isu sedia ada dengan berhikmah demi kelangsungan DAP di mata pengundi,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author