Terkini
Integriti perkhidmatan awam tenat, reformasi menyeluruh didesak
- Menurut Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan, Ghazali Shafie (GSGSG), UUM, Prof. Dr. Rusdi Omar, insiden sebegini bukan sahaja menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi kerajaan, malah mencerminkan krisis nilai dalam kalangan penjawat awam.
- Beliau menegaskan langkah pencegahan perlu bermula sejak pelantikan, termasuk saringan latar belakang yang lebih ketat, penilaian psikologi dan integriti, serta sistem merit yang menekankan bukan sahaja kompetensi tetapi juga nilai moral, sebagaimana amalan Public Service Commission di Singapura.
- “Antara langkah yang boleh diambil semasa perkhidmatan, termasuk latihan berkala mengenai Kod Etika Perkhidmatan Awam dan nilai Islam bagi pegawai Muslim, pengawasan dalaman yang proaktif, serta program mentoring dan bimbingan rohani perlu diperkukuh.
KUALA LUMPUR – Kes salah laku moral yang melibatkan penjawat awam baru-baru ini menekankan keperluan mendesak untuk reformasi menyeluruh dalam sistem integriti perkhidmatan awam negara dari pelantikan, pemantauan, hingga tindakan tatatertib.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar, insiden sebegini bukan sahaja menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi kerajaan, malah mencerminkan krisis nilai dalam kalangan penjawat awam.
“Penjawat awam memegang amanah rakyat dan dijangka menjadi contoh teladan. Kajian Transparency International Malaysia (2023) menunjukkan tahap kepercayaan terhadap perkhidmatan awam Malaysia berada pada 54%, antara yang terendah di ASEAN.
“Setiap skandal moral melibatkan penjawat awam mengurangkan legitimasi institusi kerajaan dalam mata rakyat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Beliau menegaskan bahawa langkah pencegahan perlu bermula sejak pelantikan, termasuk saringan latar belakang yang lebih ketat, penilaian psikologi dan integriti, serta sistem merit yang menekankan bukan sahaja kompetensi tetapi juga nilai moral, sebagaimana amalan Public Service Commission di Singapura.
“Antara langkah yang boleh diambil semasa perkhidmatan, termasuk latihan berkala mengenai Kod Etika Perkhidmatan Awam dan nilai Islam bagi pegawai Muslim, pengawasan dalaman yang proaktif, serta program mentoring dan bimbingan rohani perlu diperkukuh.
“Contohnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai program pembangunan sahsiah untuk penjawat awam Islam,” jelasnya.
Dalam aspek tatatertib, Rusdi berpendapat bahawa pekeliling sedia ada terlalu umum dan penguatkuasaan masih tidak konsisten.
“Beberapa langkah pemerkasaan boleh dilaksanakan dengan mewajibkan penilaian integriti berkala, seperti CITRA di SPRM, sistem whistleblower yang lebih kukuh dengan perlindungan hukum, hukuman lebih jelas dan automatik untuk kesalahan moral tertentu.
“Selain itu, Penubuhan tribunal khas untuk kes salah laku penjawat awam (seperti di United Kingdom – Civil Service Tribunal),” ujarnya.
Jelasnya, CITRA merujuk kepada Pusat Pengajian Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengadakan bengkel TOT Kursus Integriti dan Anti Rasuah pada Mac 2025.
Menurutnya, kerjasama ini bertujuan meningkatkan kemahiran pengajar dalam modul kursus integriti dan anti rasuah yang ditawarkan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata isu salah laku dalam perkhidmatan awam mencerminkan krisis nilai yang memerlukan penyelesaian holistik, di mana pendekatan punitif sahaja tidak mencukupi dan mesti disertai dengan pembangunan nilai serta etika berterusan.
“Dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam, integrasi nilai agama dalam kod etika perkhidmatan awam perlu diperkukuh tanpa mengabaikan kepelbagaian masyarakat.
“Ketelusan adalah kunci, di mana semua kes salah laku perlu didedahkan secara terbuka untuk memulihkan kepercayaan awam. Mungkin boleh dirujuk model negara berjaya seperti New Zealand (kedudukan nombor satu Corruption Perception Index 2023) yang mengutamakan budaya integriti sejak peringkat latihan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam dalam operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah premis sauna di ibu negara berkaitan aktiviti dikaitkan dengan hubungan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). – The Merdeka Times