Connect with us

Terkini

Hakim boleh terkhilaf, Itu hakikat sistem perundangan – Peguam

Published

on

Foto: Peguam dan pemerhati politik, Tai Zee How.
  • Peguam dan pemerhati politik, Tai Zee How menegaskan bahawa keputusan mahkamah tidak wajar dianggap sentiasa betul dan kebal daripada kritikan, memandangkan sistem perundangan sendiri mengiktiraf kemungkinan berlakunya kesilapan melalui mekanisme rayuan.
  • Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan segelintir penyokong DAP yang mendakwa orang awam tidak boleh mengemukakan pandangan bercanggah dengan keputusan hakim.
  • “Saya nak gelak, bila ada penyokong DAP kata, tidak boleh beri pandangan yang bercanggah dengan keputusan Hakim. Seolah-olah keputusan hakim adalah betul 100 peratus dalam semua kes perundangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

KUALA LUMPUR – Peguam dan pemerhati politik, Tai Zee How menegaskan bahawa keputusan mahkamah tidak wajar dianggap sentiasa betul dan kebal daripada kritikan, memandangkan sistem perundangan sendiri mengiktiraf kemungkinan berlakunya kesilapan melalui mekanisme rayuan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan segelintir penyokong DAP yang mendakwa orang awam tidak boleh mengemukakan pandangan bercanggah dengan keputusan hakim.

“Seolah-olah keputusan hakim adalah betul 100 peratus dalam semua kes perundangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tai Zee How turut berkongsi pengalaman peribadinya ketika menjadi panel dalam sebuah forum perundangan bersama seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan, di mana beliau mengemukakan persoalan sama ada hakim tidak pernah melakukan kesilapan dan keputusannya tidak boleh dicabar.

Menurut beliau, bekas hakim tersebut mengakui bahawa frasa paling lazim digunakan dalam hujahan rayuan ialah bahawa “hakim bicara telah terkhilaf”, sekali gus membuktikan bahawa sistem perundangan menerima hakikat kemungkinan kesilapan dalam penghakiman.

“Hakim bukan sahaja melakukan kehilafan, malah selalunya melakukannya. Sebab itu sistem rayuan diwujudkan,” katanya, memetik jawapan bekas hakim berkenaan.

Mengulas sikap penyokong politik, Tai Zee How mendakwa wujud pendirian tidak konsisten dalam kalangan sebahagian penyokong DAP, khususnya apabila pemimpin parti tersebut disabitkan kesalahan.

Menurutnya, dalam situasi sedemikian, mahkamah dan hakim sering dituduh serta dikritik hebat, namun apabila keputusan melibatkan pihak lawan politik, keputusan mahkamah pula dianggap tidak boleh dipersoalkan dan wajib dihormati sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kritikan terhadap keputusan mahkamah perlu dibezakan dengan serangan peribadi terhadap hakim, yang boleh dianggap sebagai penghinaan mahkamah.

“Kita tidak boleh mencabar hakim dalam konteks individu, seperti menuduh hakim mabuk atau seumpamanya. Itu jelas menghina mahkamah,” katanya.

Dalam hantaran sama, Tai Zee How turut menyatakan pandangannya berhubung kes bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dengan menyifatkan terdapat keraguan munasabah dalam cara mahkamah menilai keterangan yang dikemukakan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap proses pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum ini, termasuk dakwaan campur tangan dalam penjadualan kes berprofil tinggi serta perbezaan keputusan pelantikan berbanding cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, seperti yang pernah didedahkan oleh seorang bekas Peguam Negara dalam penulisannya.

Selain itu, Tai Zee How berpandangan bahawa pelantikan ahli politik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpotensi menjejaskan persepsi keadilan dalam siasatan pihak berkuasa.

“Ahli politik yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM juga berpotensi menjejaskan keadilan dalam penyiasatan pihak berkuasa berkenaan.

“Saya harapkan kerajaan seterusnya akan perbetulkan kerosakan-kerosakan sebegini,” jelasnya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author