Connect with us

Terkini

GST Kembali? Guan Eng cabar Zahid Hamidi jamin isu gagal bayaran balik tidak berulang

Published

on

Foto: Penasihat DAP, Lim Guan Eng (kanan) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri).
  • Menurut Lim, Ahmad Zahid gagal merujuk kepada kelemahan terbesar pelaksanaan GST sebelum ini, iaitu kegagalan kerajaan BN membayar balik bayaran balik GST seperti yang diwajibkan undang-undang antara 2015 hingga 2018, sehingga tunggakan mencecah lebih RM30 bilion.
  • “Bolehkah Ahmad Zahid terlebih dahulu memastikan bahawa mimpi ngeri kepada pembayar cukai akibat kegagalan bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion sejak 2015 hingga 2018 tidak akan berulang?” soal beliau.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng, memberi amaran agar “mimpi ngeri” pembayar cukai akibat kegagalan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah lebih RM30 bilion tidak berulang sekiranya cukai itu diperkenalkan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam satu kenyataan di Facebook, Lim mengkritik pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan hasrat BN untuk mengembalikan GST kerana disifatkan sebagai sistem paling sesuai dan berkesan bagi menjamin keadilan serta mengukuhkan hasil negara.

Menurut Lim, Ahmad Zahid gagal merujuk kepada kelemahan terbesar pelaksanaan GST sebelum ini, iaitu kegagalan kerajaan BN membayar balik bayaran balik GST seperti yang diwajibkan undang-undang antara 2015 hingga 2018, sehingga tunggakan mencecah lebih RM30 bilion.

“Bolehkah Ahmad Zahid terlebih dahulu memastikan bahawa mimpi ngeri kepada pembayar cukai akibat kegagalan bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion sejak 2015 hingga 2018 tidak akan berulang?” soal beliau.

Lim menjelaskan, GST sebagai cukai penggunaan hanya berfungsi secara cekap dan adil sekiranya bayaran balik cukai input dibuat bagi mengelakkan cukai berganda.

Namun, katanya, kegagalan kerajaan BN ketika itu melaksanakan bayaran balik telah memberi beban besar kepada perniagaan, menjejaskan aliran tunai dan mengancam kelangsungan operasi.

Beliau turut menyatakan bahawa bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion itu hanya dipulangkan kepada pembayar cukai selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pada 2019.

Lim berkata masalah lebihan cukai yang tidak dipulangkan berulang pada 2020, kali ini di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih.

Menurutnya, sejak 2020 hingga 2025, lebihan cukai yang telah dibayar oleh perniagaan tetapi belum dipulangkan mencecah puluhan bilion ringgit.

Katanya, lebihan cukai tersebut telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan dibelanjakan terlebih dahulu oleh kerajaan, sekali gus mewujudkan tekanan kewangan berpanjangan kepada sektor perniagaan.

“Tiada asas moral, etika atau undang-undang untuk menahan lebihan cukai yang telah dibayar pembayar cukai kerana ia adalah wang mereka sendiri, bukan wang kerajaan,” tegas Lim.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan semasa memulakan bayaran balik sekurang-kurangnya RM20 bilion daripada lebihan cukai yang belum dipulangkan agar perniagaan dapat menyambut Tahun Baharu Cina Tahun Kuda 2026 dengan lebih makmur.

Lim turut mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid mempunyai penyelesaian konkrit untuk mengelakkan kegagalan berulang, memandangkan BN menyatakan kesediaan mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) buat masa ini, tetapi tetap berhasrat memperkenalkan semula GST selepas PRU16. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author