Terkini
Exco Johor bidas perobohan kuil di Pulai
- Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) merobohkan Kuil Malai Halum Murugan di Kangkar Pulai pada 15 Disember lalu, yang didakwa dilakukan tanpa sebarang makluman kepada beliau.
- Beliau menegaskan isu berkenaan menyentuh sensitiviti agama dan sepatutnya ditangani secara berhemah melalui proses perbincangan serta persetujuan terlebih dahulu, terutama melibatkan pemindahan patung dewa mengikut adat dan ritual masyarakat India.
JOHOR BAHRU – Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) merobohkan Kuil Malai Halum Murugan di Kangkar Pulai pada 15 Disember lalu, yang didakwa dilakukan tanpa sebarang makluman kepada beliau.
Raven berkata, tindakan tersebut mengejutkan masyarakat India dan penduduk setempat selain mencetuskan reaksi negatif di media sosial.
“Saya amat kecewa, kesal dan tidak berpuas hati terhadap tindakan merobohkan kuil pada hari cuti umum negeri tanpa dimaklumkan kepada saya sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal rumah ibadat bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan menyentuh sensitiviti agama dan sepatutnya ditangani secara berhemah melalui proses perbincangan serta persetujuan terlebih dahulu, terutama melibatkan pemindahan patung dewa mengikut adat dan ritual masyarakat India.
Raven turut membandingkan insiden tersebut dengan dua kes sebelum ini yang diselesaikan secara teratur dan bermaruah iaitu Kuil Sri Durgai Amman di Kluang dan Kuil Sri Maha Kaliamman di Kempas di mana proses peralihan dijalankan melalui rundingan bersama pihak kuil dan kepimpinan komuniti.
Menurutnya, pemindahan sepatutnya dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang perobohan, selaras dengan pendekatan yang mengutamakan sensitiviti budaya dan agama.
“Tindakan MPKU dalam kes Kuil Malai Halum Murugan ini adalah amat mengecewakan dan sama sekali tidak selari dengan dasar serta amalan yang diamalkan di Negeri Johor,” jelasnya.
Raven memaklumkan bahawa beliau telah membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat kerajaan negeri bagi memastikan isu rumah ibadat bukan Islam dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan.
Raven meminta semua pihak menghormati sensitiviti agama dalam menangani isu seumpama itu agar keharmonian kaum dan kepercayaan rakyat terhadap proses pentadbiran tidak terjejas.- The Merdeka Times