Terkini
‘Coach Cerai’ boleh didakwa: Denda RM5,000 atau penjara 3 tahun – Majlis Peguam Syarie WP
- Amaran itu dikeluarkan susulan rujukan jelas Majlis kepada Seksyen 35 Akta Profesion Guaman Syarie 2019, berhubung isu tular melibatkan kehadiran individu yang menggelarkan dirinya sebagai “coach cerai” dalam prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, yang turut melibatkan pasangan artis terkenal.
- Majlis menegaskan bahawa tindakan menyamar atau memperagakan diri seolah-olah berkelayakan sebagai Peguam Syarie, termasuk menggunakan gelaran atau perihalan tertentu, merupakan satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan integriti sistem keadilan Syariah serta mengelirukan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
KUALA LUMPUR — Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) memberi amaran keras bahawa mana-mana individu yang tidak diberi kuasa tetapi bertindak sebagai Peguam Syarie, menyamar atau menggunakan gelaran yang membayangkan kelayakan untuk beramal sebagai Peguam Syarie, boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Amaran itu dikeluarkan susulan rujukan jelas Majlis kepada Seksyen 35 Akta Profesion Guaman Syarie 2019, berhubung isu tular melibatkan kehadiran individu yang menggelarkan dirinya sebagai “coach cerai” dalam prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, yang turut melibatkan pasangan artis terkenal.
Menurut MPSWP, peruntukan undang-undang tersebut menetapkan bahawa hanya individu yang diberi kuasa dan memiliki tauliah sah dibenarkan bertindak, memberi nasihat atau mewakili pihak-pihak dalam prosiding Mahkamah Syariah.
Sebarang tindakan oleh pihak tidak berkelayakan yang memberikan nasihat undang-undang syariah atau mencampuri urusan kes boleh dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah.
Majlis menegaskan bahawa tindakan menyamar atau memperagakan diri seolah-olah berkelayakan sebagai Peguam Syarie, termasuk menggunakan gelaran atau perihalan tertentu, merupakan satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan integriti sistem keadilan Syariah serta mengelirukan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.
Mengulas lanjut, MPSWP berpandangan kehadiran individu tidak bertauliah dalam prosiding perceraian, khususnya secara konsisten, berpotensi mempengaruhi hala tuju kes dan menyebabkan pihak terlibat bergantung kepada pandangan atau strategi yang tidak selaras dengan undang-undang serta hukum syarak.
Dalam pada itu, Majlis turut mengingatkan bahawa subseksyen 35(3) Akta yang sama memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana individu yang melakukan atau memujuk rayu hak untuk menjalankan fungsi lazim Peguam Syarie, termasuk memberikan nasihat undang-undang syariah, melainkan dapat dibuktikan bahawa perbuatan tersebut tidak dilakukan bagi mendapatkan fi, keuntungan atau habuan.
MPSWP menegaskan bahawa fenomena “coach cerai” yang semakin tular di media sosial berisiko mendedahkan orang awam kepada nasihat yang tidak berlandaskan undang-undang, selain merendahkan martabat institusi perkahwinan dan perceraian dalam Islam serta mencetuskan salah faham terhadap peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sehubungan itu, Majlis menggesa orang awam agar mendapatkan nasihat dan khidmat guaman keluarga Islam hanya daripada Peguam Syarie yang berdaftar, selain menyeru pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan supaya memperketat pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang menawarkan khidmat guaman tanpa tauliah.
Majlis turut memaklumkan bahawa isu kehadiran individu tidak berkelayakan dalam prosiding Mahkamah Syariah ini telah dibangkitkan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan MPSWP pada 7 November 2025, yang meluluskan usul bagi mengekang dan mencegah amalan “coach cerai” daripada terus berleluasa.-The Merdeka Times