Connect with us

Terkini

Banjir KL krisis bandar kronik: Kerajaan perlu perkukuh pengurusan banjir, bukan sekadar langkah reaktif semasa

Published

on

Foto: Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Madya Dr. Law Teik Hua.
  • Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, isu banjir di Kuala Lumpur memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang, bukan sekadar langkah reaktif semasa bencana berlaku.
  • Beliau berkata, antara keutamaan ialah memperluaskan pembinaan kolam takungan dan terowong air seperti SMART di kawasan panas banjir, serta menambah baik sistem amaran awal melalui penggunaan data hujan masa nyata, ramalan beresolusi tinggi dan penyelarasan pantas antara semua agensi.
  • Secara keseluruhan, beliau menyifatkan banjir di Kuala Lumpur bukan lagi kejadian luar biasa tetapi krisis bandar kronik yang memerlukan keputusan tegas dan perancangan jangka panjang.

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar memperkukuhkan pendekatan pengurusan banjir bersepadu (integrated flood management) bagi menangani insiden banjir di ibu negara yang semakin kerap dan serius ibarat krisis bandar kronik akibat hujan lebat luar jangka, perubahan iklim serta tekanan pembangunan bandar.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, isu banjir di Kuala Lumpur memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang, bukan sekadar langkah reaktif semasa bencana berlaku.

Beliau berkata, antara keutamaan ialah memperluaskan pembinaan kolam takungan dan terowong air seperti SMART di kawasan panas banjir, serta menambah baik sistem amaran awal melalui penggunaan data hujan masa nyata, ramalan beresolusi tinggi dan penyelarasan pantas antara semua agensi.

“Masalah banjir kilat yang berulang di lokasi sama menunjukkan sebahagian projek mungkin tidak direka berdasarkan unjuran hujan ekstrem semasa dan masa hadapan.

“Sebaliknya ia hanya berpandukan data lama yang tidak lagi relevan dengan realiti perubahan iklim,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Baru-baru ini, media melaporkan, kerajaan membelanjakan RM4.32 bilion dalam tempoh lima tahun untuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, merangkumi projek struktur dan bukan struktur bagi mengurangkan risiko serta impak banjir.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perbelanjaan tahunan meningkat daripada RM541 juta pada 2021 kepada RM1.39 bilion pada 2025, selaras dengan pelaksanaan berperingkat projek RTB di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Mengulas mengenai laporan itu perbelanjaan itu, Teik Hua, mempersoalkan kecekapan penggunaan dana kerajaan untuk projek mitigasi banjir, memandangkan masih wujud kelewatan, kos meningkat, reka bentuk lapuk dan penyelenggaraan tidak memadai.

Katanya, sistem perparitan di Kuala Lumpur juga semakin tidak efektif kerana dibina untuk kapasiti hujan lebih rendah berbanding intensiti hujan luar biasa pada masa kini.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan naik taraf menyeluruh termasuk penggunaan infrastruktur hijau seperti permukaan telap air, taman serapan air dan pemulihan sungai bandar.

“Selain masalah kapasiti, isu penyelenggaraan seperti longkang tersumbat, sampah, serta pencerobohan struktur binaan turut memburukkan keadaan.

“Dalam banyak kawasan, naik taraf menyeluruh lebih wajar berbanding tampalan kecil, termasuk penggunaan konsep infrastruktur hijau seperti permukaan telap air, taman serapan air dan sungai bandar yang dipulihkan,” ujarnya.

Dari sudut perancangan bandar, beliau menegaskan pembangunan pesat tanpa kawalan ketat telah mengurangkan kawasan hijau yang berfungsi sebagai penyerap air semula jadi, selain pembinaan di dataran banjir yang meningkatkan risiko limpahan.

“Oleh itu, kerajaan wajar memperketatkan kawalan perancangan bandar, mengehadkan pembangunan di kawasan berisiko banjir, mewajibkan penilaian impak banjir yang lebih ketat, serta memastikan pemaju bertanggungjawab membina kemudahan mitigasi, bukan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan,” tegasnya.

Mengenai bantuan kepada mangsa banjir, beliau menekankan keperluan bantuan segera tanpa birokrasi, termasuk pembaikan rumah, sokongan psikososial, pampasan kepada peniaga kecil dan B40, serta mempertimbangkan skim insurans bencana mampu milik dan program penempatan semula bagi kawasan paling terdedah.

Secara keseluruhan, beliau menyifatkan banjir di Kuala Lumpur bukan lagi kejadian luar biasa tetapi krisis bandar kronik yang memerlukan keputusan tegas dan perancangan jangka panjang.

“Kerajaan perlu berani membuat keputusan tidak popular seperti mengehadkan pembangunan tertentu, menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, serta mengutamakan keselamatan awam berbanding kepentingan ekonomi jangka pendek.

“Tanpa perancangan jangka panjang yang berdisiplin dan telus, rakyat akan terus menanggung kerugian, dan banjir akan kekal sebagai masalah berulang di ibu negara,” katanya.

Semalam media melaporkan, beberapa laluan di pusat bandar ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Klang akibat hujan lebat berterusan.

Menurut, Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), paras air sungai di beberapa kawasan di ibu negara direkodkan melepasi paras bahaya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author