Terkini
Akhiri ‘harapan palsu’ UEC: Kerajaan perlu nyata pendirian – Teo Kok Seong
- Bercakap kepada The Merdeka Times, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kanan Majlis Profesor Negara berkata kerajaan sepatutnya memuktamadkan perkara itu pada kali pertama isu UEC dibangkitkan beberapa tahun lalu, namun tindakan kerajaan ketika itu dilihat berlarutan dan bercelaru.
- “Kerajaan memberikan syarat tertentu, kemudian minta masa untuk kajian menyeluruh, dan kini mengatakan pengiktirafannya belum boleh dilakukan dalam masa terdekat. Hakikatnya kerajaan pusat sejak dahulu tidak pernah berhasrat mengiktiraf UEC,”tegasnya.
- Menurut Dr. Teo, tuntutan pengiktirafan UEC bukan sahaja tidak patriotik, malah mencabar semangat kebangsaan kerana UEC tidak menggunakan bahasa kebangsaan, dan tidak berasaskan kurikulum kebangsaan.
KUALA LUMPUR – Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, menegaskan bahawa kerajaan pusat harus sejak awal lagi mengambil pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tidak memberi sebarang isyarat atau harapan yang bercanggah dengan realiti perundangan negara.
Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau berkata kerajaan sepatutnya memuktamadkan perkara itu pada kali pertama isu UEC dibangkitkan beberapa tahun lalu, namun tindakan kerajaan ketika itu dilihat berlarutan dan bercelaru.
“Kerajaan memberikan syarat tertentu, kemudian minta masa untuk kajian menyeluruh, dan kini mengatakan pengiktirafannya belum boleh dilakukan dalam masa terdekat. Hakikatnya kerajaan pusat sejak dahulu tidak pernah berhasrat mengiktiraf UEC,”tegasnya.
Menurut Dr. Teo, asas paling jelas ialah UEC tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan, sebaliknya berstatus sebagai institusi pendidikan swasta, seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Bahagian 16).
“Hal ini terang lagi bersuluh. Oleh itu ia tidak boleh sesekali diiktiraf. Kerajaan seharusnya menyatakan pendirian ini dengan tegas sejak mula, bukan memberi harapan palsu melalui syarat mata pelajaran dan kajian komprehensif,”katanya.
Dr. Teo menegaskan bahawa sudah tiba masa kerajaan pusat menyatakan pendirian nasionalistik tanpa kompromi, sekali gus menamatkan perdebatan UEC secara tuntas.
“Harus ada keberanian politik untuk menoktahkan isu ini untuk selama-lamanya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia sudah pun mengiktiraf pendidikan aliran Cina dalam bentuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKT dan SJKC) serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).
“Pengiktirafan yang ada sudah lebih daripada mencukupi. Desakan tambahan untuk mengiktiraf UEC ibarat ‘beri betis hendak paha’ dan memperlihatkan sifat tamak,” ujarnya.
Menurutnya, membuka pintu kepada pengiktirafan UEC akan mencetuskan kesan domino yang membahayakan sistem pendidikan kebangsaan.
“Ibarat membuat pagar ampangan air, ia akan membuka ruang kepada pengiktirafan sijil lain yang bukan daripada sistem kebangsaan. Sistem dan integriti sijil negara akan terjejas,” katanya.
Dr. Teo menyifatkan isu UEC sebagai masalah berterusan yang mengganggu pentadbiran mana-mana kerajaan pusat.
“Ia akan terus menjadi duri dalam daging yang menggangu setiap kerajaan yang memerintah dan mengganggu urus tadbir negara,”katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa isu ini mempunyai implikasi perpaduan nasional.
Menurut Dr. Teo, tuntutan pengiktirafan UEC bukan sahaja tidak patriotik, malah mencabar semangat kebangsaan kerana UEC tidak menggunakan bahasa kebangsaan, dan tidak berasaskan kurikulum kebangsaan.
Beliau menegaskan bahawa isu ini akan terus memecahbelahkan masyarakat kerana wujud dua kelompok yang sentiasa bertelagah setiap kali UEC diangkat semula dalam wacana awam.
Semalam, The Merdeka Times melaporkan DAP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
MenurutTimbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan Perpaduan, kerajaan berjaya menggerakkan dasar-dasar berteraskan kepelbagaian, keterbukaan dan kesederhanaan.
Katanya, ini termasuk pencapaian “tiga peningkatan” untuk masyarakat Cina iaitu peruntukan lebih tinggi untuk kampung baharu, sekolah menengah persendirian Cina dan hal ehwal bukan Islam.- The Merdeka Times