Terkini
ABIM tolak cubaan jadikan UEC alat politik, cetus ketegangan kaum
- Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata Malaysia memerlukan politik nilai yang memperkukuh integrasi nasional, bukan politik sentimen yang meretakkan hubungan antara komuniti.
- Beliau berkata, satu fakta asas yang sering dilepas pandang dalam perbahasan umum bahawa pelajar sekolah menengah persendirian Cina sebenarnya telah pun mempunyai akses sah, terbuka dan berwibawa ke universiti awam melalui Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta laluan-laluan sedia ada yang diiktiraf.
- Oleh itu, menurutnya, naratif seolah-olah pelajar Cina terhalang daripada memasuki universiti awam adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti dasar pendidikan negara.
KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam cubaan menjadikan isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), yang merupakan sijil lepasan sekolah menengah Cina persendirian, sebagai ‘alat’ yang mampu mencetus ketegangan kaum dan menggugat keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata Malaysia memerlukan politik nilai yang memperkukuh integrasi nasional, bukan politik sentimen yang meretakkan hubungan antara komuniti.
“Dalam sebuah negara majmuk, isu pendidikan mesti ditangani dengan kebijaksanaan, keseimbangan dan berpaksikan perpaduan nasional.
“Isu ini tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan alat meraih sokongan mana-mana pihak, apatah lagi dilihat melalui kanta sentimen kaum. Ia perlu dirujuk kepada fakta, sejarah dan dasar pendidikan negara yang telah terbina sejak awal kemerdekaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahmad Fahmi, satu fakta asas yang sering dilepas pandang dalam perbahasan umum bahawa pelajar sekolah menengah persendirian Cina sebenarnya telah pun mempunyai akses yang sah, terbuka dan berwibawa ke universiti awam melalui Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta laluan-laluan sedia ada yang diiktiraf.
Oleh itu, menurutnya, naratif seolah-olah pelajar Cina terhalang daripada memasuki universiti awam adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti dasar pendidikan negara.
“Sekiranya kerajaan ingin mempertimbangkan pengiktirafan UEC sekalipun, ia hanya boleh dilaksanakan tanpa mengkompromikan syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM, serta memastikan kurikulum pendidikan kebangsaan tetap menjadi asas penandaarasan utama.
“Dengan kata lain, kurikulum dan peperiksaan yang dikelolakan Kementerian Pendidikan Malaysia tidak boleh dikesampingkan atas apa jua justifikasi,” jelasnya.
Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara majmuk yang telah lama membuktikan bahawa kepelbagaian budaya dapat hidup subur dalam ruang kebangsaan yang sama.
“Setiap komuniti bebas mengamalkan budaya serta adat yang membentuk jati diri masing-masing, namun hal tersebut tidak pernah menafikan keperluan untuk mengekalkan asas pendidikan nasional sebagai paksi penyatuan warga,” ujarnya.
Ahmad Fahmi menegaskan pihak ABIM kekal komited menjadi jambatan dialog dan rakan strategik kerajaan dalam memastikan dasar pendidikan Malaysia dibina atas asas integrasi, kualiti dan keadilan untuk semua, tanpa mengorbankan prinsip kebangsaan yang menjadi teras negara. – The Merdeka Times