Antarabangsa
Zohran Mamdani dilantik Datuk Bandar Muslim Pertama New York
- Kemenangannya menandakan perubahan besar dalam landskap politik New York, dengan latar belakangnya sebagai anak imigran dan aktivis sosial mendapat sokongan besar daripada golongan muda serta komuniti minoriti.
- Mamdani terkenal dengan pendiriannya yang lantang menentang penjajahan Israel di Palestin, yang disifatkannya sebagai genosid.
- “Sebagai Datuk Bandar, New York City akan menangkap Benjamin Netanyahu jika beliau menjejakkan kaki ke sini. Nilai-nilai bandar ini selaras dengan undang-undang antarabangsa, sudah tiba masanya tindakan kita juga begitu,” tegas beliau satu wawancara bersama Mehdi Hasan pada Disember 2024.
NEW YORK — Ahli politik muda Zohran Mamdani mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya Datuk Bandar New York City, sekali gus menjadi Datuk Bandar Muslim pertama dalam sejarah bandar raya itu dan pemimpin termuda dalam tempoh satu abad.
Mamdani, 34, seorang Demokrat sosialis, menewaskan pencabarnya dalam pilihan raya yang berlangsung sengit pada Selasa.
Kemenangannya menandakan perubahan besar dalam landskap politik New York, dengan latar belakangnya sebagai anak imigran dan aktivis sosial mendapat sokongan besar daripada golongan muda serta komuniti minoriti.
Dalam ucapan kemenangannya, Mamdani secara langsung menyindir Presiden Donald Trump seorang penduduk asal New York yang sebelum ini mengugut akan menahan dana persekutuan jika beliau menang.
“Donald Trump, saya tahu kamu sedang menonton. Saya ada empat perkataan untuk kamu turn the volume up! (tingkatkan volume TV kamu),” katanya disambut sorakan penyokong.
Trump sebelum ini menyalahkan kegagalan calon-calon Republikan dalam pilihan raya kali ini kepada ketiadaan dirinya di kertas undi serta penutupan kerajaan yang sedang berlaku di Washington.
Apabila mengangkat sumpah pada 1 Januari depan, Mamdani akan menjadi Datuk Bandar termuda New York dalam tempoh 100 tahun, dan juga pemimpin pertama berketurunan Asia Selatan dalam sejarah 400 tahun bandar itu.
Mamdani terkenal dengan pendiriannya yang lantang menentang penjajahan Israel di Palestin, yang disifatkannya sebagai genosid.
“Sebagai Datuk Bandar, New York City akan menangkap Benjamin Netanyahu jika beliau menjejakkan kaki ke sini. Nilai-nilai bandar ini selaras dengan undang-undang antarabangsa, sudah tiba masanya tindakan kita juga begitu,” tegas beliau satu wawancara bersama Mehdi Hasan pada Disember 2024.
Beliau turut berikrar untuk menilai semula semua pelaburan bandar yang mempunyai kaitan dengan Israel, sambil mengutuk kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Pendiriannya itu menyebabkan beliau dilabel “antisemitik” oleh kumpulan pro-Israel, namun pada masa sama telah memperkukuh sokongan daripada komuniti Muslim, Yahudi progresif, dan penyokong Palestin di seluruh New York.
Berita kemenangan Mamdani diraikan secara meluas di media sosial oleh aktivis pro-Palestin, pemimpin Muslim dan Yahudi, serta kelompok hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai kemenangan nilai kemanusiaan dan keberanian politik.-The Merdeka Times