Antarabangsa
YouTube padam 700 video hak asasi Palestin, Cubaan bungkam bukti jenayah Israel
- Menurut laporan portal The Intercept, akaun yang dipadam milik Al-Haq, Al Mezan Centre for Human Right, dan Palestinian Centre for Human Rights (PCHR) yang mana tiga organisasi yang selama ini mendokumentasikan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
- Video yang dipadam merangkumi rakaman serangan udara Israel, testimoni mangsa terselamat, dan bukti pembunuhan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh.
GAZA— Platform YouTube dilapor memadam lebih 700 video dan menutup akaun tiga organisasi hak asasi manusia Palestin utama, susulan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap kumpulan berkenaan kerana kerjasama mereka dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Menurut laporan portal The Intercept, akaun yang dipadam milik Al-Haq, Al Mezan Centre for Human Right, dan Palestinian Centre for Human Rights (PCHR) yang mana tiga organisasi yang selama ini mendokumentasikan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Video yang dipadam merangkumi rakaman serangan udara Israel, testimoni mangsa terselamat, dan bukti pembunuhan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh.
Tindakan tersebut diambil pada awal Oktober, tidak lama selepas kerajaan AS mengenakan sekatan terhadap ketiga-tiga pertubuhan itu atas alasan kerjasama mereka dengan ICC yang sedang menyiasat jenayah perang oleh pegawai Israel di Gaza.
Dalam kenyataan kepada The Intercept, YouTube mengesahkan bahawa penutupan akaun tersebut dibuat selepas semakan dalaman berasaskan undang-undang sekatan perdagangan AS, dengan alasan syarikat itu perlu mematuhi peraturan antarabangsa berkaitan.
Namun, kumpulan hak asasi manusia menyifatkan langkah YouTube itu sebagai cubaan membungkam suara rakyat Palestin dan memadam bukti penting jenayah perang.
Mereka turut mendakwa tidak menerima sebarang notis amaran sebelum akaun mereka dipadamkan.
“YouTube memadam saluran yang melaporkan pelanggaran hak asasi manusia, bukan saluran ekstremis. Ini jelas bentuk penapisan politik,” tegas wakil salah satu organisasi yang terjejas.-The Merdeka Times