Terkini
Video kaitkan Azam Baki: Peguam gesa tindakan profesional, elak cemar imej institusi
- Peguam, Dr. Zulqarnain Lukman berkata bukti berbentuk video seperti yang tersebar mudah menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi melibatkan pegawai tinggi kerajaan.
- “Bukti berbentuk video sebegini boleh timbul pelbagai keraguan mengenai pembuatnya, cara rakaman, motif rakaman, latar belakang percakapan.” katanya
- Beliau berkata lagi, apabila nama seorang pegawai kerajaan tertinggi disebut dalam dakwaan seumpama itu, pegawai berkenaan juga perlu mengambil langkah membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan serta mempertimbangkan tindakan undang-undang.
KUALA LUMPUR – Video yang tular berkaitan dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu ditangani secara profesional bagi mengelakkan keraguan berterusan serta menjaga integriti institusi, tegas peguam, Dr. Zulqarnain Lukman.
Menurut beliau, bukti berbentuk video seperti yang tersebar mudah menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi melibatkan pegawai tinggi kerajaan.
“Bukti berbentuk video sebegini boleh timbul pelbagai keraguan mengenai pembuatnya, cara rakaman, motif rakaman, latar belakang percakapan.” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Beliau berkata, apabila nama seorang pegawai kerajaan tertinggi disebut dalam dakwaan seumpama itu, pegawai berkenaan juga perlu mengambil langkah membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan serta mempertimbangkan tindakan undang-undang.
“Contohnya seperti Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pernah menyaman Papa Gomo sebelum ini.
“Ia terjadi apabila Papa Gomo telah melabelkan beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat Perdana Menteri,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa langkah sama boleh diambil Azam Baki sekiranya dakwaan terhadapnya adalah palsu.
“Sementara itu, beliau boleh memberikan satu jaminan bahawa beliau tidak akan campur tangan dengan siasatan itu dan menyerahkan kuasa kepada pegawai kanannya untuk mengendalikan hal tersebut,” tegasnya.
Zulqarnain menegaskan ketelusan dalam proses siasatan adalah penting bagi mengelakkan timbulnya tuduhan berat sebelah serta menjaga nama baik institusi.
Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan seorang wanita dengan wajah dikaburkan mendakwa Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki untuk menyelesaikan kes yang melibatkan ahli perniagaan Albert Tei.
Video itu bagaimanapun tidak menyatakan bila dan di mana pertemuan tersebut didakwa berlangsung.
Wanita tersebut turut mendakwa Shamsul bertemu Azam kerana dia sendiri turut dikaitkan dengan isu skandal Sabah dan sebenarnya telah dipanggil oleh ketua SPRM itu. – The Merdeka Times