Connect with us

Terkini

Tiga MP kerajaan dakwa Perjanjian ART berat sebelah, Gugat kedaulatan Malaysia

Published

on

Foto: Tiga Ahli Parlimen kerajaan, Wong Chen (Subang) (kiri atas), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) (kiri bawah) dan Rafizi Ramli (Pandan) (kanan).
  • Mereka berkata setelah penelitian mendalam, ART didapati memihak kepada Amerika Syarikat, selain mempersoalkan kenyataan Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, yang dalam forum awam pada 3 November menyebut Malaysia telah “dipaksa” memasuki rundingan tersebut dan bahawa ia bukan perkongsian setara.
  • “Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara,” jelas kenyataan tersebut.

 

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen kerajaan, Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Rafizi Ramli (Pandan), menyuarakan kebimbangan serius bahawa Perjanjian Amerika Syarikat–Malaysia Berkenaan Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani 26 Oktober lalu adalah berat sebelah dan lebih menguntungkan Amerika Syarikat.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Wong Chen.

Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan bahawa pandangan tersebut dibuat sebagai Ahli Parlimen, bukan atas kapasiti jawatan rasmi.

Wong Chen, yang kini Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, menegaskan bahawa kenyataan itu dikeluarkan atas sumpah mereka untuk mempertahankan kepentingan negara dan Perlembagaan.

Mereka berkata setelah penelitian mendalam, ART didapati memihak kepada Amerika Syarikat, selain mempersoalkan kenyataan Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, yang dalam forum awam pada 3 November menyebut Malaysia telah “dipaksa” memasuki rundingan tersebut dan bahawa ia bukan perkongsian setara.

“Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara.

“Tambahan pula, kami yakin, berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks Perjanjian, bahawa penandatanganan Perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi,” jelas kenyataan tersebut.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen itu turut menekankan bahawa beberapa artikel dalam ART khususnya Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3 berpotensi mengehadkan hak kedaulatan Malaysia sekiranya dikuatkuasakan oleh Amerika Syarikat dan dipatuhi Malaysia.

“Senario ini merupakan satu penyimpangan besar daripada dasar luar dan dasar perdagangan Malaysia yang telah lama berpegang kepada prinsip berkecuali aktif dan keutamaan ASEAN,” tegas mereka.

Walau bagaimanapun, mereka menyatakan Malaysia masih memiliki dua pilihan undang-undang untuk mempertahankan kedaulatan negara iaitu memohon pindaan kepada ART melalui Artikel 7.3, atau menamatkan perjanjian tersebut melalui Artikel 7.4.

“Kami bersetuju dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pada 30 Oktober 2025 telah menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia mempunyai “exit clause” dan boleh menamatkan Perjanjian sebagai jalan keluar daripada persoalan kedaulatan tersebut,” tambah mereka.

Jabatan Peguam Negara juga mengesahkan pada 3 November bahawa Malaysia boleh menamatkan ART melalui notis bertulis kepada Amerika Syarikat.

Kenyataan itu turut menyebut beberapa kesan negatif langsung dan tidak langsung perjanjian tersebut terhadap imbangan dagangan, implikasi fiskal, aliran keluar pelaburan, serta potensi gangguan terhadap FTA sedia ada dan perjanjian komersial Malaysia dengan negara ketiga.

Bagi menangani isu tersebut, Wong Chen, Nik Nazmi dan Rafizi mengemukakan lima syor utama kepada kerajaan MADANI, termasuk pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat proses penandatanganan ART, pelantikan peguam perdagangan antarabangsa bagi menilai semula terma perjanjian, menjalankan kajian kos-faedah komprehensif, mewujudkan pasukan penasihat dasar luar peringkat tinggi serta menubuhkan bahagian khas MITI untuk menyelaras maklumat strategik berkaitan ART.

Mereka menegaskan bahawa cadangan-cadangan ini penting bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan kedaulatan negara dalam menghadapi implikasi geopolitik serta ekonomi daripada perjanjian tersebut. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author