Antarabangsa
Sektor pertanian Gaza hampir lumpuh sepenuhnya
- Laporan FAO menunjukkan 80 peratus tanah tanaman Gaza telah rosak, dengan lebih 77 peratus kini tidak boleh diusahakan. Hampir 83 peratus telaga air dan 71 peratus rumah hijau turut musnah, menandakan keruntuhan sistem makanan Gaza secara menyeluruh.
- Sebelum perang, sektor pertanian menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Gaza dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 560,000 orang.
- “Kemusanahan ini disengajakan dan dirancang dengan teliti,” kata Bahaa Zaqout dari Persatuan Pembangunan Pertanian Palestin (PARC).
GAZA — Tanah pertanian di Gaza kini hampir musnah sepenuhnya akibat serangan dan sekatan berterusan oleh rejim Israel sejak Oktober 2023, dengan lebih 95 peratus kawasan pertanian tidak lagi boleh diakses, menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT).
Naim Abu Amra, seorang petani di Deir al-Balah, menggambarkan tanahnya yang dahulu subur dengan tanaman tomato, timun dan cili kini menjadi padang jarak padang tekukur selepas serangan Israel memusnahkan semua rumah hijau dan sistem pengairan.
“Jentolak tentera meratakan tanah, dan semua struktur plastik serta logam cair akibat bom,” katanya.
Abu Amra berkata, kemusnahan itu bukan sekadar memusnahkan punca pendapatan keluarganya, tetapi juga masa depan anak-anaknya.
“Perang ini bukan sahaja mengambil hasil tuaian kami, tetapi juga harapan kami,” ujarnya.
Laporan FAO menunjukkan 80 peratus tanah tanaman Gaza telah rosak, dengan lebih 77 peratus kini tidak boleh diusahakan. Hampir 83 peratus telaga air dan 71 peratus rumah hijau turut musnah, menandakan keruntuhan sistem makanan Gaza secara menyeluruh.
Sebelum perang, sektor pertanian menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Gaza dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 560,000 orang.
Namun kini sumbangannya merosot kepada kurang dua peratus.
“Kemusanahan ini disengajakan dan dirancang dengan teliti,” kata Bahaa Zaqout dari Persatuan Pembangunan Pertanian Palestin (PARC).
Menurut Bank Dunia, proses pemulihan sektor itu akan menelan kos lebih AS$8.4 bilion, termasuk kerja-kerja pembersihan 61 juta tan serpihan yang sebahagiannya mengandungi bahan toksik seperti asbestos dan bahan letupan tidak meletup.
Israel masih menghalang kemasukan jentera berat yang diperlukan untuk membersihkan kawasan tersebut. Sekatan juga menyekat kemasukan benih, baja dan peralatan pertanian ke Gaza.
Malah, buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi biji benih turut dilarang masuk, menyebabkan harga pertanian meningkat mendadak.
“Benih kini dijadikan senjata kerana ia sumber kehidupan,” kata Mariam Al-Jaajaa, Pengurus Besar Kumpulan Arab untuk Perlindungan Alam (APN).
APN yang membantu lebih 700 petani tetap berusaha menanam lebih 1,300 hektar tanah menggunakan benih tempatan, meskipun kos meningkat lima kali ganda.
“Sebelum perang, kos menanam tanah sekitar AS$5,000, kini mencecah AS$25,000,” jelas Jaajaa.
Beliau menegaskan pemulihan sebenar hanya dapat dicapai apabila rakyat Palestin mengawal sendiri proses pengeluaran makanan mereka.
“Tiada penyelesaian mampan tanpa keadilan. Pertanian bukan sekadar ekonomi ia lambang kebebasan dan hak untuk hidup,” katanya. -The Merdeka Times