Terkini
Rugi hampir RM5 juta, Mangsa Forex kecewa tiada tindakan selepas laporan polis
- Jumlah keseluruhan pelaburan yang dilakukan oleh kesemua mangsa dianggarkan RM4,953,722.10, dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Namun, sebahagian besar daripada mereka gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
- “Mangsa-mangsa berasa kecewa kerana selepas laporan polis dibuat, mereka tidak menerima sebarang maklum balas atau perkembangan siasatan,” -Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)
KUALA LUMPUR — Sekumpulan mangsa pelaburan forex yang ditipu hampir RM5 juta meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa tiada sebarang perkembangan positif diterima walaupun laporan polis telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkata, seramai 38 individu tampil membuat aduan selepas menjadi mangsa kepada sebuah syarikat pelaburan forex yang kononnya berdaftar di bawah Labuan Financial Services Authority (LFSA).
Jumlah keseluruhan pelaburan yang dilakukan oleh kesemua mangsa dianggarkan RM4,953,722.10, dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Namun, sebahagian besar daripada mereka gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.
“Mangsa-mangsa berasa kecewa kerana selepas laporan polis dibuat, mereka tidak menerima sebarang maklum balas atau perkembangan siasatan,” kata MHO dalam kenyataan hari ini.
Menurut MHO, hasil semakan mendapati program tersebut mempunyai ciri-ciri Skim Ponzi, di mana wang pelabur baharu digunakan untuk membayar keuntungan kepada pelabur lama.
Susulan itu, MHO bersama mangsa hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi memohon siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Kami mahu keadilan ditegakkan. Isu ini bukan sekadar kerugian kewangan tetapi melibatkan kepercayaan dan keselamatan pelabur awam,” tegas MHO.
MHO turut menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera terhadap dalang yang dipercayai warganegara Malaysia, bagi mengelakkan lebih ramai rakyat terus menjadi mangsa penipuan pelaburan yang semakin berleluasa.-The Merdeka Times