Connect with us

Terkini

RM2.5 bilion ‘masuk’ Kedah: KRC pacu ekonomi Padang Terap

Published

on

Foto: Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah.
  • Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata pelaburan Prinx Chengshan bernilai RM1.2 bilion bagi fasa pertama dan RM1.3 bilion bagi fasa kedua, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 bilion, akan membuka sebuah lagi kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kedah, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri melalui agenda “The Greater Kedah”.
  • Jelasnya, keputusan itu merupakan detik bermakna buat warga Padang Terap dan negeri Kedah, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap potensi negeri tersebut.

PADANG TERAP – Kedah terus melakar pencapaian penting dalam agenda pembangunan industri dan pelaburan apabila syarikat Prinx Chengshan Ltd., yang berpengkalan di China memilih Kedah Rubber City (KRC) sebagai destinasi pelaburan terbaharu mereka.

Exco Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata keputusan itu merupakan detik bermakna buat warga Padang Terap dan negeri Kedah, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap potensi negeri tersebut.

Menurutnya, pelaburan Prinx Chengshan bernilai RM1.2 bilion bagi fasa pertama dan RM1.3 bilion bagi fasa kedua, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 bilion, akan membuka sebuah lagi kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kedah, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri melalui agenda “The Greater Kedah”.

“KRC dibangunkan untuk memacu pembangunan ekonomi Padang Terap khususnya dan Kedah amnya. Untuk itu, menjadi kewajipan setiap penjawat awam dan swasta memberikan perkhidmatan terbaik melebihi jangkaan pelabur,” katanya.

Beliau menegaskan Kedah perlu konsisten sebagai destinasi pelaburan terbaik di Malaysia dengan memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan mesra, sekali gus mengekalkan keyakinan pelabur yang telah membawa masuk ratusan bilion ringgit ke negeri itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya lagi, kejayaan Kedah menarik pelaburan bukan berlaku secara kebetulan, tetapi berpunca daripada kepercayaan pelabur terhadap kepimpinan negeri di bawah Menteri Besar, selain ketelusan pentadbiran serta hubungan baik antara agensi negeri dan pusat.

Walaupun begitu, beliau menekankan keperluan untuk terus menambah baik sistem penyampaian di peringkat daerah, negeri dan negara bagi memastikan Kedah kekal kompetitif.

“Cara syarikat besar membuat keputusan memilih lokasi pelaburan sangat rapi. Apabila mereka memilih Kedah berbanding negeri lain, itu bermakna Kedah mempunyai ciri-ciri strategik yang diperlukan,” katanya.

Beliau menyeru warga kerja dan rakyat Kedah untuk berfikir dan bertindak sebagai masyarakat kelas pertama demi memastikan negeri itu terus maju. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author