Antarabangsa
Ritual masuk rumah baru guna lembu mainan undang kritikan netizen di India
- Rakaman yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, Jaya Naagesh, menunjukkan lembu mainan digerakkan secara automatik sebagai ganti kepada lembu sebenar yang biasanya dibawa masuk ke rumah baharu dalam upacara tradisional tersebut.
- Sejurus selepas video tersebut tersebar, ribuan pengguna media sosial tampil memberi reaksi berbeza.
- “Saya rasa mereka sedang memperlekeh kepercayaan sendiri,” tulis seorang pengguna, manakala yang lain menyindir bahawa “kalau lembunya mainan, rumah itu pun patut jadi rumah mainan.”
NEW DELHI — Satu video tular di media sosial memaparkan sebuah keluarga di India menggunakan lembu mainan dalam upacara Griha Pravesh (upacara memasuki rumah baharu), mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen antara simbol kemodenan dan penghinaan terhadap tradisi.
Rakaman yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, Jaya Naagesh, menunjukkan lembu mainan digerakkan secara automatik sebagai ganti kepada lembu sebenar yang biasanya dibawa masuk ke rumah baharu dalam upacara tradisional tersebut.
Hantaran itu disertakan kapsyen: “Cow in Griha Prevasam (Technology)”.
Sejurus selepas video tersebut tersebar, ribuan pengguna media sosial tampil memberi reaksi berbeza. Ada yang memuji kreativiti keluarga tersebut.
“Digital India” dan “Robot 2.0”, namun ramai juga yang mengecam tindakan itu sebagai mempermainkan kepercayaan sendiri dan mengejek ritual Hindu.
“Saya rasa mereka sedang memperlekeh kepercayaan sendiri,” tulis seorang pengguna, manakala yang lain menyindir bahawa “kalau lembunya mainan, rumah itu pun patut jadi rumah mainan.”
Sehingga kini, video berkenaan telah meraih lebih 300,000 tontonan, hampir 9,000 tanda suka dan 28,000 perkongsian di pelbagai platform.
Menurut laporan portal Latestly, dalam tradisi Hindu, membawa lembu dan anak lembu sebenar ke rumah baharu melambangkan berkat, kemakmuran dan keharmonian keluarga.
Lembu dianggap suci serta simbol kepada kesuburan dan keseimbangan alam, dan kehadirannya dalam upacara Griha Pravesh dipercayai membawa tenaga positif serta rezeki ke dalam rumah.
Namun, di kawasan bandar yang padat dan terhad ruang, masyarakat kini memilih untuk menggantikan lembu sebenar dengan patung atau gambar simbolik.
Sesetengah keluarga juga menzahirkan penghormatan dengan menderma kepada pusat perlindungan lembu (gaushala) sebagai tanda mengekalkan nilai tradisi dalam bentuk moden.-The Merdeka Times