Terkini
Ramai ibu bapa terperangkap dengan tanggapan vape “kurang bahaya” – Dr Samhan
- Dr Samhan mengingatkan bahawa menghisap vape walaupun tidak di hadapan anak masih berbahaya. Residu nikotin yang tertinggal pada pakaian, perabot atau udara dikenali sebagai thirdhand vape residue boleh disedut atau tersentuh oleh kanak-kanak.
- “Ramai ibu bapa terperangkap dengan tanggapan bahawa vape ‘kurang bahaya’ sebab tiada asap dan bau kuat macam rokok. Tapi hakikatnya, wap vape tetap mengandungi bahan kimia toksik seperti nikotin, logam berat dan bahan perisa yang boleh rosakkan paru-paru dan otak remaja,” jelas beliau kepada The Merdeka Times
KUALA LUMPUR — Ramai ibu bapa hari ini terperangkap dengan tanggapan salah bahawa penggunaan vape lebih selamat berbanding rokok konvensional hanya kerana ia tidak mengeluarkan asap dan bau kuat
Hakikatnya, wap vape tetap mengandungi bahan kimia toksik yang boleh menjejaskan kesihatan paru-paru dan otak, khususnya dalam kalangan remaja.
Demikian penjelasan doktor kesihatan lelaki, Dr. Ahmad Samhan Awang yang menegaskan bahawa persepsi “vape kurang bahaya” perlu diperbetulkan segera kerana ia memberi kesan langsung kepada sikap ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
“Ramai ibu bapa terperangkap dengan tanggapan bahawa vape ‘kurang bahaya’ sebab tiada asap dan bau kuat macam rokok.
“Tapi hakikatnya, wap vape tetap mengandungi bahan kimia toksik seperti nikotin, logam berat dan bahan perisa yang boleh rosakkan paru-paru dan otak remaja,” jelas beliau kepada The Merdeka Times
Menurut Dr Samhan, langkah paling realistik bukan sekadar melarang, tetapi mendidik dan menjadi contoh di rumah. Katanya, jika ibu bapa sendiri masih merokok atau menghisap vape, anak-anak akan menganggap tabiat itu sesuatu yang normal.
“Perubahan kena bermula dari rumah. Berhenti depan anak, tunjukkan usaha nak sihat, dan berbincang secara terbuka tentang bahaya sebenar vape tanpa marah-marah.
“Bila anak nampak ayahnya pun berjuang untuk berhenti, mesej tu jauh lebih kuat daripada seribu nasihat,” katanya.
Mengulas isu sama ada vape wajar diharamkan atau dikenakan cukai lebih tinggi, Dr Samhan berpandangan pendekatan terbaik ialah gabungan kawalan ketat, pendidikan dan penguatkuasaan.
“Naik cukai boleh bantu kurangkan daya beli, terutama dalam kalangan pelajar dan golongan muda. Tapi kalau akses masih mudah di kedai runcit, platform dalam talian atau melalui influencer kesannya tetap kecil,” ujarnya.
Dr Samhan turut mengingatkan bahawa menghisap vape walaupun tidak di hadapan anak masih berbahaya. Residu nikotin yang tertinggal pada pakaian, perabot atau udara dikenali sebagai thirdhand vape residue boleh disedut atau tersentuh oleh kanak-kanak.
“Anak akan tangkap gaya hidup ayahnya. Bila dia tahu ayahnya sembunyi-sembunyi vape, dia belajar bahawa ‘benda ni salah tapi boleh buat diam-diam’. Di situlah budaya merokok dan vape diwarisi tanpa sedar,” jelas beliau.
Sebagai doktor dan bapa, Dr Samhan meluahkan kebimbangan terhadap trend generasi muda yang semakin menganggap vape sebagai perkara biasa.
“Vape bukan gaya hidup moden, tapi perangkap moden. Kalau kita sayang anak, jangan biar mereka belajar bahawa sihat itu boleh ditangguhkan,” ujarnya. -The Merdeka Times