Terkini
Prestasi Pembangunan 2025 lemah, Hanya 16 kementerian capai sasaran – KSN
- Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, prestasi keseluruhan projek pembangunan masih kurang memberangsangkan dan memerlukan tindakan pembetulan yang lebih tegas di peringkat kementerian.
- “Daripada jumlah itu, hanya 16 kementerian sahaja yang berjaya melepasi tahap purata nasional. Saya meminta supaya setiap KSU mengadakan mesyuarat MTPK seperti dijadualkan,” jelas beliau.
PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegur prestasi projek pembangunan kerajaan bagi tahun ini apabila hanya 16 kementerian berjaya melepasi tahap purata nasional, sekali gus menggesa semua Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) segera mengadakan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) seperti yang telah dijadualkan.
Menurut beliau, prestasi keseluruhan projek pembangunan masih kurang memberangsangkan dan memerlukan tindakan pembetulan yang lebih tegas di peringkat kementerian.
Daripada RM85.87 bilion peruntukan pembangunan melibatkan 9,524 projek, hanya RM64.03 bilion telah dibelanjakan, bersamaan 74.56 peratus purata nasional.
“Daripada jumlah itu, hanya 16 kementerian sahaja yang berjaya melepasi tahap purata nasional. Saya meminta supaya setiap KSU mengadakan mesyuarat MTPK seperti dijadualkan,” katanya ketika berucap pada Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 semalam.
Shamsul Azri berkata langkah ini penting bagi memastikan kementerian dapat mengenal pasti kelewatan, menambah baik penyampaian dan mempercepat pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada rakyat dan ekonomi negara.
Dalam ucapannya, beliau turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti dan mengkaji semula kaedah pelaksanaan projek fizikal bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih pantas dan berkesan.
Beliau menegaskan bahawa penjawat awam perlu memperkukuh kesiapsiagaan menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang membawa tema “Melakar Semula Pembangunan”.
“Kita perlu lebih tangkas dan inovatif dalam menggerakkan lebih 120 strategi dan lebih 600 inisiatif yang digariskan. Iltizam jitu dan sinergi antara agensi pusat serta kementerian adalah kunci kejayaan RMKe-13,” katanya.
Shamsul Azri turut menyentuh Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya menggambarkan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
“Perbelanjaan pembangunan bukan sekadar angka tetapi cerminan iltizam kerajaan untuk melabur dalam projek berimpak tinggi. Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah pelaburan strategik untuk masa depan negara,” tambahnya. -The Merdeka Times