Connect with us

Antarabangsa

Pogba, Hakim Ziyech antara 70 atlet desak UEFA gantung Israel

Published

on

Foto: Hakim Ziyech (kiri) dan Paul Pogba (kanan).

 

  • Dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden UEFA, Aleksander Ceferin pada Selasa, kumpulan Athletes for Peace bersama beberapa organisasi hak asasi menyokong gesaan agar badan itu memutuskan hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
  • “Tiada ruang dalam masyarakat sivil antarabangsa yang wajar menerima sebuah rejim yang melakukan genosid, apartheid dan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut kandungan surat tersebut.

 

Lebih 70 atlet antarabangsa menyertai kumpulan hak asasi manusia dalam mendesak Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menggantung Israel susulan dakwaan pencabulan hak asasi terhadap rakyat Palestin.

Dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden UEFA, Aleksander Ceferin pada Selasa, kumpulan Athletes for Peace bersama beberapa organisasi hak asasi menyokong gesaan agar badan itu memutuskan hubungan dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).

Surat berkenaan digerakkan oleh organisasi Game Over Israel.

“Tiada ruang dalam masyarakat sivil antarabangsa yang wajar menerima sebuah rejim yang melakukan genosid, apartheid dan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut kandungan surat tersebut.

Ia menegaskan bahawa tindakan kolektif, termasuk menyekat penglibatan Israel dalam acara sukan atau budaya, diperlukan bagi menamatkan impunitinya.

Antara atlet terkenal yang menyokong gesaan itu ialah pemenang Piala Dunia Perancis Paul Pogba, penyerang Belanda Anwar El Ghazi, pemain Maghribi Hakim Ziyech serta pemain sayap Sepanyol Adama Traore.

Surat sama turut ditandatangani beberapa kumpulan hak asasi termasuk Hind Rajab Foundation dan Gaza Tribunal.

Petisyen itu merupakan kesinambungan kempen yang menuntut UEFA mengambil tindakan terhadap Israel, khususnya selepas perang di Gaza.

Pada September lalu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Turki, Ibrahim Haciosmanoglu turut menyokong langkah menggantung Israel, manakala Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) meluluskan resolusi serupa awal bulan ini.

Walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat dikatakan menamatkan serangan Israel ke atas Gaza bulan lalu, laporan menunjukkan Israel terus menyekat bantuan dan membunuh rakyat Palestin.

Menurut penyiasat PBB dan organisasi hak asasi terkemuka, perang tersebut disifatkan sebagai genosid, dengan 69,182 rakyat Palestin terbunuh termasuk 421 pemain bola sepak.

Surat itu turut menegaskan bahawa Israel menggunakan bola sepak untuk “menghalalkan” pendudukan, termasuk membenarkan kelab dari penempatan haram di Tebing Barat menyertai liga profesional suatu tindakan yang didakwa melanggar peraturan FIFA.

Ia memberi amaran bahawa hubungan UEFA dengan IFA, termasuk penyaluran dana dan penyertaan pasukan Israel dalam kejohanan Eropah, boleh menjadikan UEFA turut bertanggungjawab.

Dalam kenyataannya, kumpulan hak asasi itu mengingatkan UEFA bahawa penggantungan negara yang melanggar undang-undang antarabangsa bukanlah sesuatu yang baharu, merujuk kepada tindakan terhadap Afrika Selatan ketika era apartheid, Jerman pasca perang, Republik Persekutuan Yugoslavia dan terbaru, Rusia.

Surat itu menutup gesaan dengan meminta UEFA mengikuti undang-undang antarabangsa dan prinsip moral dengan menggantung Israel serta-merta.-The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author