Terkini
Persaingan markah tinggi, kejar reputasi sekolah punca isu soalan bocor – Prof. Dr. Salleh Amat
- Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM, Prof. Dr. Salleh Amat berkata budaya yang terlalu menekankan markah dan sekolah yang hebat menyebabkan persaingan sengit di kalangan pelajar.
- “Sekarang nampaknya semua orang bersaing-saing untuk mendapatkan markah yang terbaik. Ini bukan hanya berlaku di sekolah biasa, tetapi juga di asrama penuh, sekolah sains dan sekolah berprestij lain,” katanya.
- Beliau mencadangkan supaya soalan peperiksaan lebih menekankan pemikiran aras tinggi, termasuk soalan berbentuk subjektif yang meminta pelajar menghuraikan, membincangkan, membandingkan dan membuat sintesis.
KUALA LUMPUR – Tekanan tinggi terhadap peperiksaan dan reputasi sekolah dikenal pasti sebagai punca utama isu soalan peperiksaan bocor, menurut Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salleh Amat.
Beliau menjelaskan bahawa budaya terlalu menekankan markah dan sekolah yang hebat menyebabkan persaingan sengit di kalangan pelajar.
“Sekarang nampaknya semua orang bersaing-saing untuk mendapatkan markah yang terbaik. Ini bukan hanya berlaku di sekolah biasa, tetapi juga di asrama penuh, sekolah sains dan sekolah berprestij lain,” katanya yang dihubungi The Merdeka Times.
Beliau mengulas laporan The Merdeka Times semalam mengenai pendedahan seorang guru di Facebook mengenai kegiatan penjualan soalan-soalan peperiksaan, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Abdul Muiez Mohammad Ruslee dalam akaun Facebook miliknya, berkongsikan gambar-gambar yang mengandungi mesej dan hantaran individu yang didakwa menjual soalan-soalan SPM mencecah hampir RM900.
Mengulas lanjut, Prof. Dr. Salleh berkata tujuan latih tubi dan latihan menjawab soalan ramalan sebelum peperiksaan adalah untuk meningkatkan pemahaman pelajar, bukan untuk meniru.
“Latih tubi itu bagus, tetapi bentuk soalan perlu difikirkan semula supaya pelajar bukan hanya mengira atau menghafal fakta semata-mata,” jelas beliau.
Menurut beliau, walaupun soalan ramalan membantu dalam latih tubi, tindakan tidak adil seperti menjual soalan peperiksaan sebenar adalah satu jenayah dan menjejaskan keadilan peperiksaan.
Beliau mencadangkan supaya soalan peperiksaan lebih menekankan pemikiran aras tinggi, termasuk soalan berbentuk subjektif yang meminta pelajar menghuraikan, membincangkan, membandingkan dan membuat sintesis.
Dengan pendekatan ini, pelajar bukan sahaja belajar fakta, tetapi juga membangunkan kebolehan berfikir kritis dan aplikasi ilmu dalam situasi sebenar.
“Kalau kita tumpu kepada soalan straight forward, pelajar boleh menjawab dengan latihan sahaja. Tapi kalau kita minta mereka membincangkan dan membuat perbandingan, di situlah kita dapat lihat siapa lebih bijak dan mampu membuat aplikasi,” tambah beliau.
Beliau juga menekankan peranan ibu bapa, PIBG dan pihak sekolah untuk membendung penjualan dan penyebaran soalan bocor, selain menegaskan kepentingan integriti akademik. – The Merdeka Times