Terkini
Perjanjian Dagang Malaysia–AS: Dasar Ekonomi Bumiputera, peranan GLC terancam
- Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa Artikel 6.2 perjanjian itu secara langsung menjejaskan dasar ekonomi Bumiputera dan peranan GLC atau GLIC sebagai alat pelaksanaan dasar negara.
- Tambah belau, klausa tersebut mewajibkan Malaysia memastikan GLC bertindak atas dasar komersial semata-mata dan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan dari AS.
- Jelas beliau, peruntukan ini bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan Dasar Ekonomi Bumiputera, GLC dan GLIC.
KUALA LUMPUR – Perjanjian perdagangan yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menimbulkan kebimbangan berpotensi menjejaskan dasar ekonomi Bumiputera serta menghadkan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai alat pelaksanaan dasar negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menegaskan bahawa Artikel 6.2 perjanjian itu secara langsung menjejaskan dasar ekonomi Bumiputera dan peranan GLC atau GLIC sebagai alat pelaksanaan dasar negara.
Tambah beliau, klausa tersebut mewajibkan Malaysia memastikan GLC bertindak atas dasar komersial semata-mata dan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan dari AS.
“Ini bermakna, dasar mengutamakan vendor tempatan atau Bumiputera boleh dianggap sebagai pelanggaran perjanjian.
“Kerajaan juga dilarang memberi bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC kecuali untuk tujuan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.
Jelas beliau, peruntukan berkenaan bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan Dasar Ekonomi Bumiputera, GLC dan GLIC, bukan sekadar sebagai entiti perniagaan tetapi instrumen dasar negara bagi memperkasa ekonomi tempatan, membina daya saing industri strategik dan melindungi kepentingan nasional.
“Sekiranya autonomi mereka dihadkan oleh tekanan perjanjian antarabangsa, maka kerajaan sebenarnya sedang menyerahkan kuasa ekonomi negara kepada pengaruh asing,” tegasnya.
Beliau berpandangan bahawa perjanjian berkenaan ditandatangani secara tergesa-gesa tanpa rundingan mendalam dengan pihak berkepentingan termasuk pakar undang-undang, industri dan kumpulan ekonomi Bumiputera.
“Saya mendesak kerajaan menangguhkan pengesahan perjanjian ini sehingga satu penilaian menyeluruh terhadap kesannya dibuat serta memastikan setiap perjanjian antarabangsa selepas ini mesti mengandungi klausa perlindungan terhadap kedaulatan dan kepentingan Bumiputera secara jelas.
“Malaysia tidak menolak perdagangan antarabangsa, namun ia mestilah berasaskan kepada prinsip saling menghormati dan bukannya dalam bentuk penyerahan kuasa.
“Saya menegaskan bahawa perdagangan tanpa maruah bukanlah sebuah kemajuan tetapi satu bentuk pengorbanan yang sia-sia. Kedaulatan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan melebihi segala bentuk tekanan politik atau ekonomi dari luar,” katanya. – The Merdeka Times