Connect with us

Terkini

Penjajahan moden di Gaza: Gencatan senjata tutup niat tersembunyi, licik Israel, AS – Raja Bahrin

Published

on

Foto: Pengerusi Biro Antarabangsa - Amanah, Raja Bahrin Shah.
  • Pengerusi Biro Antarabangsa – Amanah, Raja Bahrin Shah, berkata walaupun gencatan senjata diuar-uarkan sebagai satu kemenangan untuk keamanan, ia tidak dipatuhi sepenuhnya oleh Israel dan hanya menyembunyikan niat tersembunyi penjajahan yang lebih besar dalam bentuk pemegang amanah. 
  • “Gencatan senjata yang kononnya dialu-alukan itu telah menutup niat tersembunyi yang licik dalam bentuk Gaza Trusteeship, bersama penubuhan Board of Peace yang dipengerusikan oleh Presiden Trump dan ditadbir Tony Blair,” katanya.
  • Raja Bahrin menjelaskan bahawa konsep pemegang amanah ini adalah satu bentuk penjajahan yang disalut dengan nama indah ‘keamanan dan kemanusiaan’. 

KUALA LUMPUR –  Penjajahan moden di Gaza masih aktif dan berlangsung dengan penuh licik, kata Raja Bahrin Shah, Pengerusi Biro Antarabangsa – Amanah, yang mengecam pengumuman baru-baru ini oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan Resolusi 2803 pada 17 November 2025. 

Resolusi berkenaan, menurut beliau, sebenarnya telah menubuhkan Gaza Trusteeship atau Lembaga Pemegang Amanah Gaza, yang walaupun disambut baik dengan pengumuman “gencatan senjata”, membawa implikasi yang jauh lebih mendalam dan berbahaya untuk rakyat Palestin.

“Walaupun gencatan senjata tersebut diuar-uarkan sebagai satu kemenangan untuk keamanan, ia tidak dipatuhi sepenuhnya oleh Israel dan hanya menyembunyikan niat tersembunyi penjajahan yang lebih besar dalam bentuk pemegang amanah. 

“Gencatan senjata yang kononnya dialu-alukan itu telah menutup niat tersembunyi yang licik dalam bentuk trusteeship, bersama penubuhan Board of Peace (Lembaga Pengaman) yang dipengerusikan oleh Presiden Trump dan ditadbir Tony Blair,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raja Bahrin menjelaskan bahawa konsep pemegang amanah ini adalah satu bentuk penjajahan yang disalut dengan nama indah ‘keamanan dan kemanusiaan’. 

“Seperti yang dinyatakan Profesor Ralph Wild, profesor undang-undang antarabangsa dari University College London, trusteeship ini berdasarkan tradisi Barat yang membuat penjajahan kelihatan lebih berperikemanusiaan,” kata Raja Bahrin. 

Beliau berkata, lembaga pemegang amanah berkenaan kononnya akan menggantikan pemerintahan brutal Israel yang berakar pada diskriminasi kaum, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai.

Raja Bahrin juga mengkritik pemilihan bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair sebagai Ketua Board of Peace

 “Sebuah lembaga pemegang amanah lazimnya menggambarkan rakyat yang dianggap seperti ‘kanak-kanak’ dan tidak mampu mengurus diri, manakala pentadbirnya pula ‘lebih dewasa’ seperti Donald Trump, Tony Blair dan pemimpin Barat lain. 

Ini jelas satu tindakan rasis yang memalukan dan menghina, kerana kita tahu rakyat Palestin ialah masyarakat yang sangat tahan lasak, pintar dan mampu mentadbir,” tegas Raja Bahrin.

Selain itu, Raja Bahrin berkata sebelum pengumuman gencatan senjata pada Oktober 2025, tentera Israel telah lebih awal merancang untuk memecah Gaza kepada dua zon utama: zon hijau yang dikawal oleh tentera Israel dan zon merah yang menempatkan pelarian Palestin. 

“Zon ini dipisahkan oleh ‘garisan kuning’ yang tidak kelihatan serta kabur dan arbitrari, di mana rakyat Palestin yang keliru ditembak setiap hari kerana melintasinya,” kata Raja Bahrin, sambil menambah bahawa taktik ini adalah salinan langsung strategi pecah dan perintah yang digunakan oleh penjajah British di Malaya pada 1950-an.

Raja Bahrin menekankan bahawa taktik ini merupakan “kerja jahat yang terancang” oleh Israel dan pihak-pihak Barat yang akan menguasai Gaza melalui Board of Peace

“Kerja jahat yang terancang ini diperkukuh dengan pembekalan senjata kepada militia tempatan yang bermusuhan untuk melawan Hamas, yang akan memecah-belahkan Gaza menjadi banyak enklaf berasingan,” katanya.

Raja Bahrin mengingatkan bahawa selagi kuasa besar Barat, seperti Amerika Syarikat dan Britain, yang dipengaruhi oleh agenda Zionis Israel terus mendominasi naratif mengenai Palestin, rakyat Palestin tidak akan bebas. 

“Tanpa orang tengah yang benar-benar jujur-ikhlas untuk bekerja ke arah keamanan sebenar, dan selagi Amerika yang dipengaruhi Zionis serta British yang menjadi arkitek asal penubuhan Israel melalui Deklarasi Balfour terus memegang naratif,  Palestin tidak akan bebas,” kata beliau.

Oleh itu, beliau mendesak negara-negara Islam untuk bertindak. 

“Kami mendesak kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam lain, yang semuanya pernah menjadi mangsa penjajahan, untuk bertindak, membetulkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konspirasi untuk memecah-belah Gaza dan meneruskan penjajahan yang kejam oleh kuasa besar kolonial Barat yang kini menjejak kaki ke Gaza bersama Zionis Israel,” tegas Raja Bahrin.

Raja Bahrin Shah mengingatkan bahawa tanpa tindakan tegas dari negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa yang jujur, Gaza akan terus menjadi medan penjajahan moden yang dikuasai oleh kuasa besar Barat. 

“Kami menyeru dunia untuk melihat lebih jauh daripada hanya gencatan senjata atau resolusi PBB. Apa yang lebih penting, adalah untuk menyedari bahawa penjajahan moden masih lagi berlaku di Gaza,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author