Connect with us

Terkini

Pemuda PAS Selangor dakwa kerajaan PH gagal agih kekayaan negeri kepada rakyat

Published

on

Foto: Ketua Pemudanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar
  • Ketua Pemudanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar, berkata kegagalan itu dapat dilihat menerusi prestasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan laporan bajet tahunan yang disifatkan hanya sebagai kosmetik tanpa hasil nyata kepada rakyat.
  • “Lebih malang lagi, bagi subkomponen keluarga Negeri Selangor hanya mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 2 peratus amat rendah berbanding sasaran 8 peratus dalam RS1. Apa maknanya negeri kita kaya namun rakyatnya tidak sejahtera dari sudut kualiti taraf hidup mereka?” soal beliau.

 

SHAH ALAM – Dewan Pemuda PAS Selangor mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri telah gagal mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat, khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial, kemiskinan dan pembangunan luar bandar.

Ketua Pemudanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar, berkata kegagalan itu dapat dilihat menerusi prestasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan laporan bajet tahunan yang disifatkan hanya sebagai kosmetik tanpa hasil nyata kepada rakyat.

“Kerajaan Selangor pada hari ini telah gagal membela nasib rakyat Selangor. Kegagalan ini dapat dilihat melalui perkembangan capaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan bajet tahunan sebelum ini.

“Ternyata, RS-1 ini hanyalah sekadar kosmetik dan janji yang akhirnya menyerlahkan kelemahan dan kegagalan kerajaan di bawah pemerintahan Menteri Besar Selangor,” katanya pada sidang media mengenai Bajet Selangor 2026 di Pejabat Pemuda PAS Selangor di Shah Alam hari ini.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pertumbuhan tahunan Indeks Kesejahteraan Sosial Selangor merosot kepada 0.7 peratus pada 2022, berbanding 2.1 peratus pada 2021.

Subkomponen keselamatan awam dan kesihatan turut mencatatkan penurunan ketara masing-masing -9.3 peratus dan -6.3 peratus.

“Lebih malang lagi, bagi subkomponen keluarga Negeri Selangor hanya mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 2 peratus amat rendah berbanding sasaran 8 peratus dalam RS1.

“Apa maknanya negeri kita kaya namun rakyatnya tidak sejahtera dari sudut kualiti taraf hidup mereka?” soal beliau.

Pemuda PAS turut menegaskan bahawa walaupun Selangor kekal negeri terkaya di Malaysia, rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi. Kadar inflasi negeri pada 1.8 peratus, melebihi purata nasional, sekali gus mengurangkan kuasa beli rakyat.

Tambahnya, masalah kemiskinan mutlak di Selangor yang direkodkan sebanyak 1.5 peratus pada 2022 dijangka tidak mencapai sasaran 0.7 peratus menjelang 2025, apatah lagi selepas disemak semula kepada 0.5 peratus dalam Kajian Separuh Penggal RS-1.

Jurang pendapatan juga ketara antara daerah luar bandar seperti Sabak Bernam (RM6,941) dan bandar seperti Sepang (RM11,131).

Dalam isu perumahan mampu milik, Mohamed Sukri memetik laporan Khazanah Research Institute yang menunjukkan lambakan rumah berharga tinggi di Selangor. Beliau berkata hanya 13 peratus (41,196 unit) daripada 302,998 permohonan rumah mampu milik pada 2024 telah siap dibina, manakala lebih 60 peratus projek masih belum dimulakan.

Pemuda PAS Selangor turut membangkitkan isu bekalan air, banjir dan pembangunan luar bandar, dengan mendakwa lebih 1,000 kawasan di Lembah Klang terjejas akibat gangguan air pada 2024, selain 80 kes pencemaran sumber air direkodkan di seluruh negeri.

“Isu banjir di Taman Sri Muda ibarat acara tahunan, manakala projek besar seperti SABDA (Sabak Bernam Development Area) gagal mencapai sasaran pelaburan RM1.9 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri memperbetulkan halatuju dalam Bajet Selangor 2026 dan RS-2 dengan menumpukan kepada empat perkara utama iaitu kesejahteraan rakyat dalam sektor keselamatan dan kesihatan; peningkatan kemahiran serta pendapatan isi rumah miskin; pelaksanaan pelan perumahan mampu milik yang realistik; dan pembangunan infrastruktur luar bandar bagi merapatkan jurang sosioekonomi.

“Kami mendesak supaya kerajaan negeri tidak mengulangi kegagalan RS-1,” tegas Mohamed Sukri. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author