Connect with us

Terkini

MTUC tegur kerajaan : kenaikan umur bersara perlu rundingan tripartite

Published

on

Foto: Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.
  • Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata kerajaan perlu mematuhi Konvensyen ILO No. 88 dan No. 144, yang menegaskan keperluan melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja melalui Majlis Penasihat Kebangsaan (National Advisory Council) sebelum sebarang pindaan undang-undang berkaitan buruh dilaksanakan.
  • “Apa juga pindaan atau cadangan berkenaan akta yang melibatkan dua pihak yang termanfaat mesti dibawa kepada badan Tripartite untuk mendapat persetujuan. MTUC melihat kebelakangan ini banyak perkara ini dilanggar kerajaan dengan tidak menghormati badan yang diiktiraf peranannya oleh kerajaan,” katanya kepada The Merdeka Times.

 

 

KUALA LUMPUR — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegur kerajaan kerana didakwa gagal menghormati proses rundingan Tripartite seperti yang digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ketika mencadangkan pindaan berkaitan umur persaraan wajib.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor, berkata kerajaan perlu mematuhi Konvensyen ILO No. 88 dan No. 144, yang menegaskan keperluan melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja melalui Majlis Penasihat Kebangsaan (National Advisory Council) sebelum sebarang pindaan undang-undang berkaitan buruh dilaksanakan.

“Apa juga pindaan atau cadangan berkenaan akta yang melibatkan dua pihak yang termanfaat mesti dibawa kepada badan Tripartite untuk mendapat persetujuan.

“MTUC melihat kebelakangan ini banyak perkara ini dilanggar kerajaan dengan tidak menghormati badan yang diiktiraf peranannya oleh kerajaan,” katanya kepada The Merdeka Times.

Mengulas cadangan kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan, beliau menegaskan bahawa kerajaan wajib membuat justifikasi menyeluruh termasuk menilai risiko, kebaikan dan keburukan kepada semua pihak khususnya pekerja.

“Kerajaan mesti justifikasi dan mengkaji keseluruhan risiko pro dan kons yang akan dihadapi oleh kerajaan dan pekerja,” katanya.

Abdul Halim menambah bahawa umur persaraan wajib perlu selaras dengan dasar kebangsaan yang telah ditetapkan melalui Akta Umur Minima Kebangsaan yang berkuat kuasa sejak 2014. Katanya, kerajaan tidak boleh mendiskriminasi pekerja sektor swasta berbanding kakitangan awam yang menerima pencen.

Beliau turut mempersoalkan mekanisme kerajaan dalam menentukan keperluan mendesak untuk melaksanakan dasar baharu tersebut.

“Mekanisme apa yang digunakan kerajaan bagi mengukur urgency sehingga mesti dilaksanakan sekarang?” soalnya.

MTUC sebelum ini pernah mengemukakan permohonan agar umur persaraan sektor swasta dinaikkan kepada 65 tahun, namun cadangan tersebut ditolak kerajaan dengan pelbagai alasan.

Tegas Abdul Halim, sektor swasta mempunyai keperluan tersendiri kerana sifat kerja di lapangan industri lebih mencabar dan berbeza daripada pekerjaan berorientasikan pejabat.

Menurutnya, cadangan kerajaan melanjutkan umur persaraan kakitangan awam perlu dilakukan secara jujur dan telus tanpa sebarang agenda tersorok, disertai proses libat urus yang merangkumi semua pihak berkepentingan.

“Kerajaan sebelum meminda umur bersara ke 65 tahun mesti jujur, tidak mempunyai agenda tersorok agar perbincangan serta libat urus melibatkan semua pihak,” katanya.

Abdul Halim menegaskan bahawa kerajaan perlu mempunyai perancangan tenaga kerja negara yang jelas sekiranya benar mahu meminda umur persaraan, termasuk memastikan keseimbangan antara keperluan industri, kebajikan pekerja dan kelangsungan ekonomi negara. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author