Connect with us

Terkini

Lebih 500 kes bunuh diri dalam 5 tahun: Pulau Pinang antara negeri terburuk

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Undangan Negeri hari ini, (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mendedahkan bahawa 1 daripada 10 belia di Pulau Pinang pernah berfikir, merancang atau cuba membunuh diri, berdasarkan data kesihatan negeri terkini.
  • Menurut beliau, 12 peratus belia melaporkan mempunyai idea bunuh diri, 9.5 peratus pernah membuat perancangan, manakala 9.3 peratus telah mencuba untuk menamatkan hidup.

 

GEORGE TOWN – Pulau Pinang muncul antara negeri paling terjejas dengan isu bunuh diri apabila lebih 500 kes direkodkan sejak lima tahun lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Undangan Negeri hari ini, Ng mendedahkan bahawa 1 daripada 10 belia di Pulau Pinang pernah berfikir, merancang atau cuba membunuh diri, berdasarkan data kesihatan negeri terkini.

Menurut beliau, 12 peratus belia melaporkan mempunyai idea bunuh diri, 9.5 peratus pernah membuat perancangan, manakala 9.3 peratus telah mencuba untuk menamatkan hidup.

“Walaupun kadar ini sedikit lebih rendah berbanding data nasional, ia masih sangat membimbangkan dan menunjukkan tekanan mental dalam kalangan belia masih berada pada tahap yang meresahkan,” katanya.

Beliau merujuk data Kementerian Kesihatan yang menunjukkan bahawa secara nasional, 13.1 peratus belia Malaysia mempunyai kecenderungan bunuh diri, sementara 10 peratus telah merancang, dan 9.5 peratus pernah cuba melakukannya.

Ng berkata Pulau Pinang merekodkan 564 kes bunuh diri dari 2020 hingga 2025, menjadikan negeri itu berada di tangga kelima tertinggi di Malaysia dalam tempoh berkenaan. Daripada jumlah itu, hanya 103 individu berjaya diselamatkan, iaitu purata 20 orang setahun.

Data menunjukkan bahawa distres emosi merupakan faktor utama, menyumbang kepada 209 kes, diikuti masalah kesihatan (73 kes), kesulitan kewangan (70 kes) dan masalah keluarga (60 kes).

Susulan angka yang membimbangkan itu, Ng menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap krisis kesihatan mental di Pulau Pinang. Beliau turut menyeru ibu bapa agar lebih peka terhadap kesejahteraan emosi anak-anak dan menggalakkan mereka mendapatkan bantuan profesional tanpa stigma.

Individu yang mengalami tekanan emosi atau mempunyai kecenderungan bunuh diri boleh mendapatkan bantuan melalui talian berikut:

– Mental Health Psychosocial Support Service:

03-2935 9935 / 014-322 3392

– Talian Kasih:

15999 / WhatsApp 019-261 5999

– Pusat Khidmat Keluarga, Sosial & Komuniti Jakim

(WhatsApp): 011-1959 8214

– Befrienders KL:

03-76272929 atau layari [www.befrienders.org.my](http://www.befrienders.org.my)

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author