Terkini
‘Lantikan politik hakis kepercayaan terhadap Kerajaan, perlu tubuh jawatankuasa bebas’
- Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata langkah tersebut bukan sahaja mengundang kemarahan rakyat, malah memberi kelebihan kepada pembangkang untuk menjadikannya sebagai modal politik.
- Bagi memastikan ketelusan dalam pelantikan, beliau mencadangkan agar sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi menilai dan memilih calon yang benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh politik.
- Penganalisis politik UKM, Profesor Dr. Kartini Aboo menekankan, lantikan politik bukan salah secara mutlak jika individu yang dilantik mempunyai merit, kemahiran, kelayakan profesional, dan rekod perkhidmatan cemerlang.
KUALA LUMPUR – Tindakan berterusan melakukan lantikan politik dalam agensi kerajaan dilihat mampu menjejaskan imej dan usaha kerajaan untuk terus mengekalkan momentum sokongan rakyat.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata langkah tersebut bukan sahaja mengundang kemarahan rakyat, malah memberi kelebihan kepada pembangkang untuk menjadikannya sebagai modal politik.
“Saya berpandangan tindakan berterusan melakukan lantikan politik akan mencetuskan keadaan sukar bagi melonjakkan momentum sokongan rakyat sedia ada.
“Malah pada masa sama, ia ibarat memberi bola tanggung kepada pembangkang untuk dijadikan modal dalam siri siri pilihan raya bermula di Sabah sehingga PRU 16 akan datang,” katanya.
Beliau turut berpandangan kedudukan selesa sebahagian pemimpin kerajaan mendorong mereka mengulangi tindakan tidak disenangi rakyat demi menjaga kepentingan penyokong tertentu.
“Bagi saya kedudukan selesa segelintir pemimpin parti dalam kerajaan menyebabkan mereka mula kembali melaksanakan tindakan-tindakan yang tidak digemari oleh rakyat sebelum ini.
“Selain itu, terdapat segelintir pemimpin parti yang perlu menjaga hati atau menjaga ‘hulubalang’ yang banyak berjasa kepada mereka sehingga berjaya seperti hari ini,” tegasnya.
Bagi memastikan ketelusan dalam pelantikan, beliau mencadangkan jawatankuasa bebas di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN) ditubuhkan bagi memilih calon tanpa pengaruh politik.
“Untuk lebih telus dan bebas, perlu ditubuhkan sebuah jawatankuasa di bawah KSN untuk menilai, memilih dan melantik individu atau tokoh yang tidak aktif serta mempunyai penglibatan langsung mahupun tidak langsung dengan mana mana parti politik.
“Malah calon juga perlu isytihar keluar atau menamatkan keahlian dalam parti bagi memperlihatkan keyakinan bukan sahaja kepada jawatankuasa pemilih tetapi juga keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Mohammad Tawfik menegaskan, isu ini perlu ditangani segera sama ada melalui campur tangan Perdana Menteri atau pengunduran calon terlibat bagi menjaga imej kerajaan dan parti pemerintah.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Kartini Aboo menegaskan apabila janji untuk menamatkan lantikan politik tidak ditepati, ia menimbulkan kesan besar iaitu krisis kepercayaan awam terhadap komitmen kerajaan ke arah reformasi dan ketelusan pentadbiran negara.
Beliau turut mencadangkan pelantikan awam diperkukuh melalui garis panduan non-partisan, suruhanjaya bebas menilai kelayakan calon, serta ketelusan tanggungjawab kepimpinan politik dibahas secara terbuka.
“Garis panduan pelantikan awam ini perlu bersifat non-partisan, manakala suruhanjaya bebas menilai kelayakan calon.
“Perdana Menteri dan Kabinet pula bertanggungjawab dalam pelantikan itu dan ia perlu dibahas secara terbuka,” ujar beliau.
Prof. Kartini menekankan, lantikan politik bukan salah secara mutlak jika individu yang dilantik mempunyai merit, kemahiran, kelayakan profesional, dan rekod perkhidmatan cemerlang.
Namun, tambahnya, jika pelantikan itu dibuat atas kepentingan peribadi atau parti tertentu, ia akan merosakkan budaya politik dan menghakis kepercayaan pengundi.
Baru-baru ini media melaporkan, keputusan menamakan seorang bekas setiausaha politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengetuai sebuah agensi di bawah kementerian yang juga diterajui seorang pemimpin DAP telah mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial.
Edward Ling dinamakan sebagai CEO baharu TalentCorp, agensi ditubuhkan di bawah pentadbiran Najib Razak, yang kini merupakan sebahagian Kementerian Sumber Manusia di bawah pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap timbalan setiausaha agung parti itu, Steven Sim. – The Merdeka Times