Terkini
Label “Muslim Choice” mengelirukan, Dewan Ulamak PAS gesa tindakan tegas Kerajaan
- “Bagaimana Kerajaan boleh membiarkan suatu badan lain membuat penilaian ‘halal’ dengan label ‘Muslim Choice’ yang hampir sama dengan Halal Malaysia?,” – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya
- DUPP berkata, pihaknya meneliti jawapan JAKIM melalui kenyataan Ketua Pengarah JAKIM bertarikh 2 November, yang menjelaskan bahawa pertemuan dua hala bersama NGO tersebut telah diadakan sejak tahun lalu.
- Namun, tiada tindakan susulan diambil, menyebabkan penggunaan label “Muslim Choice” masih berleluasa dan terus membayangi logo halal rasmi JAKIM.
KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), supaya mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim-Friendly Watch berhubung pengeluaran label produk “Muslim Choice” yang disifatkan seakan-akan akuan sijil halal rasmi.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, penggunaan label tersebut boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam kerana ia menyerupai logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti.
DUPP berkata, pihaknya meneliti jawapan JAKIM melalui kenyataan Ketua Pengarah JAKIM bertarikh 2 November, yang menjelaskan bahawa pertemuan dua hala bersama NGO tersebut telah diadakan sejak tahun lalu.
Namun, tiada tindakan susulan diambil, menyebabkan penggunaan label “Muslim Choice” masih berleluasa dan terus membayangi logo halal rasmi JAKIM.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan NGO berkenaan meletakkan label “Muslim Choice” tanpa piawaian halal yang jelas boleh mengelirukan masyarakat Islam.
Malah, hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sahaja yang berhak mengeluarkan logo halal di Malaysia.
Ahmad menegaskan bahawa kriteria halal yang digunakan oleh Muslim-Friendly Watch tidak menepati piawaian Halal Malaysia yang ditetapkan oleh JAKIM, sedangkan piawaian halal negara telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui prosedur pensijilan yang sah.
“Bagaimana Kerajaan boleh membiarkan suatu badan lain membuat penilaian ‘halal’ dengan label ‘Muslim Choice’ yang hampir sama dengan Halal Malaysia?,” soal beliau.
Sehubungan itu, DUPP menegaskan JAKIM perlu mengambil langkah lebih tegas bagi menangani isu ini kerana ia bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, tetapi juga boleh merendahkan martabat serta kredibiliti sistem pensijilan halal Malaysia yang telah lama diiktiraf.-The Merdeka Times