Terkini
Kedah muktamadkan langkah akhir tuntutan pajakan Pulau Pinang
- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkembangan lanjut dijangka diketahui dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi setelah beberapa langkah akhir diselesaikan.
- Isu pajakan Pulau Pinang kembali menjadi perhatian selepas Kedah pada 2021 menuntut bayaran semula royalti pajakan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, berbanding kadar lama RM10,000 setahun yang tidak pernah dinilai semula sejak lebih dua abad lalu.
- Kajian menyeluruh sebelum ini melibatkan lebih 20,000 dokumen daripada pelbagai arkib termasuk British Library di London bagi menilai semula hubungan sejarah, isu sempadan, bayaran air Sungai Muda serta kadar pajakan yang dianggap tidak lagi munasabah.
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan lantikan peguam bagi melaksanakan proses perundangan berkaitan isu pajakan Pulau Pinang, termasuk penyediaan dokumen dan tindakan di mahkamah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkembangan lanjut dijangka diketahui dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi setelah beberapa langkah akhir diselesaikan.
Menurutnya, pasukan penyelidik yang dilantik kerajaan negeri kini berada di London bagi mengesahkan beberapa dokumen penting di muzium dan perpustakaan sebelum difailkan ke mahkamah.
“Semakin hampir, insya-Allah. Kita akan bergerak berdasarkan undang-undang. Kalau prosesnya di mahkamah, selagi dibenarkan oleh undang-undang, tak lama lagi. Ada satu dua langkah lagi oleh pasukan pengkaji untuk sahkan beberapa dokumen yang baru diperoleh,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam.
Muhammad Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri telah menubuhkan pasukan penyelidik khas terdiri daripada pakar sejarah dan undang-undang bagi mengkaji hubungan Kedah dan Pulau Pinang, termasuk aspek pajakan yang bermula sejak tahun 1786.
Kajian tersebut telah disiapkan dan dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN serta Ahli Parlimen Kedah pada 15 April lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Kedah terhadap isu sejarah dan hubungan antara Kedah dan Pulau Pinang, khususnya berkaitan kedudukan undang-undang serta keperluan memperjelaskan fakta sejarah secara telus.
“Baginda menzahirkan keperluan agar isu berhubung perkara ini diperjelaskan dengan fakta sebenar termasuk soal pajakan,” katanya.
Isu pajakan Pulau Pinang kembali menjadi perhatian selepas Kedah pada 2021 menuntut bayaran semula royalti pajakan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, berbanding kadar lama RM10,000 setahun yang tidak pernah dinilai semula sejak lebih dua abad lalu.
Kajian menyeluruh sebelum ini melibatkan lebih 20,000 dokumen daripada pelbagai arkib termasuk British Library di London bagi menilai semula hubungan sejarah, isu sempadan, bayaran air Sungai Muda serta kadar pajakan yang dianggap tidak lagi munasabah.
Sanusi turut menegaskan bahawa usaha kerajaan negeri bukanlah bertujuan mencetuskan konfrontasi, tetapi untuk menegakkan fakta sejarah dan memastikan hak Kedah terhadap Pulau Pinang dinilai semula secara sah dan berlandaskan undang-undang.-The Merdeka Times