Antarabangsa
Israel pasang bom dalam anak patung di Gaza
- Menurut Dr Munir Al-Bursh, Ketua Pengarah Kesihatan Gaza, tentera Israel bukan sahaja meninggalkan kediaman yang musnah, tetapi turut menanam bom yang disamarkan sebagai objek menarik minat kanak-kanak.
- “Ramai kanak-kanak cedera parah, badan koyak, anggota badan terputus, wajah hancur hanya kerana rasa ingin tahu terhadap objek yang kelihatan seperti mainan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
GAZA – Pihak berkuasa kesihatan Gaza mendedahkan bahawa tentera Israel meninggalkan anak patung dan mainan yang dipasang bahan letupan di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza, dipercayai bertujuan mengumpan kanak-kanak Palestin sebagi satu taktik baharu yang digambarkan sebagai “wajah baharu genosid”.
Menurut Dr Munir Al-Bursh, Ketua Pengarah Kesihatan Gaza, tentera Israel bukan sahaja meninggalkan kediaman yang musnah, tetapi turut menanam bom yang disamarkan sebagai objek menarik minat kanak-kanak.
“Ramai kanak-kanak cedera parah, badan koyak, anggota badan terputus, wajah hancur hanya kerana rasa ingin tahu terhadap objek yang kelihatan seperti mainan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menjelaskan bahawa bahan letupan itu disembunyikan di dalam anak patung, beruang teddy, dan burung mainan kecil, yang diletakkan di kawasan perumahan yang telah dibom bagi menarik perhatian kanak-kanak yang kembali ke rumah mereka selepas gencatan senjata.
“Perang di Gaza kini bukan lagi membunuh dengan peluru, tetapi dengan sifat tidak bersalah itu sendiri iaitu bila permainan menjadi maut, tawa bertukar jeritan, dan dunia yang diam menjadi rakan jenayah,” tegas Dr Al-Bursh.
Jurucakap Pertahanan Awam Palestin, Mahmoud Basal, menyifatkan baki bahan letupan yang ditinggalkan Israel sebagai “bom masa” yang kini mengancam seluruh Gaza.
Katanya, Israel telah menggugurkan lebih 200,000 tan bahan letupan ke atas wilayah itu sejak Oktober 2023, dan kira-kira 70,000 tan daripadanya gagal meletup, termasuk bom besar yang tertanam di bawah runtuhan bangunan konkrit.
“Kita bercakap tentang 71,000 tan bahan letupan yang masih berada di Gaza. Ia boleh meletup bila-bila masa apabila kanak-kanak bermain dengannya, atau semasa pasukan penyelamat cuba mengeluarkan mayat,” katanya.
Antara kes terbaharu melibatkan Yahya Shorbasi, 7 tahun, dan adik perempuannya Nabila, yang menemui objek kelihatan seperti mainan di luar rumah mereka.
“Ia nampak seperti mainan biasa. Anak saya pegang, kemudian Yahya ketuk dengan duit syiling. Tiba-tiba kami dengar letupan bom itu meletup di tangan mereka,” kata ibu mereka, Latifa Shorbasi.
Yahya kehilangan tangan kanannya dan Nabila kini dirawat di unit rawatan rapi.
Seorang doktor kecemasan di Hospital al-Shifa, Dr Harriet, menyifatkan keadaan itu sebagai bencana kesihatan awam yang menunggu masa untuk meledak.
“Kanak-kanak cedera akibat objek yang kelihatan tidak berbahaya, tin kosong, serpihan logam, atau anak patung tetapi sebenarnya bahan letupan aktif,” jelasnya.
Ketua Perkhidmatan Tindakan Lombong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS), Luke David Irving, berkata sekurang-kurangnya 328 orang telah terbunuh atau cedera akibat bahan letupan yang tidak meletup sejak Oktober 2023.
Beliau menambah bahawa antara 5 hingga 10 peratus senjata yang digugurkan Israel gagal meletup, menjadikan Gaza kini seperti “ladang periuk api terbesar di dunia.”
Basal menjelaskan bahawa kerja-kerja pembersihan bahan letupan itu dijangka mengambil masa bertahun-tahun serta menelan belanja berjuta dolar.
“Selagi dunia berdiam diri, setiap anak patung di Gaza berpotensi menjadi jerat maut,” katanya.-The Merdeka Times